Salam sejahtera semua 🙂
Semoga kita semua sihat-sihat sokmo. Mutakhir ni ramai pula yang tanya saya tentang akaun emas Gold Accumulation Program (GAP), jadi harini saya nak jawab salah satu soalan yang kerap ditanya iaitu:
Mengapa emas GAP yang dibeli dalam gandaan Ringgit ada 4 titik perpuluhan? Apa yang boleh dibuat dengan emas tersebut? Bagaimana nak genapkan jumlah emas tersebut?
Intro Akaun GAP
Jika anda clueless tentang apa itu Akaun GAP, elok baca perkongsian terperinci tentang Akaun GAP dulu untuk memudahkan kefahaman (link). Apa yang saya nak kongsikan harini ialah: Apakah perbezaan apabila kita beli emas GAP dalam gandaan 1gram versus gandaan RM100? Short answer: jika beli dalam gandaan gram, jumlah emas dalam akaun GAP akan genap (cth: 1.0000gram) manakala jika beli dalam gandaan ringgit, baki emas dalam akaun GAP akan mengandungi 4 titik perpuluhan (cth: 0.4484gram).
Untuk memudahkan kefahaman, saya ingin bagi contoh real-life situation iaitu transaksi akaun GAP saya sendiri. Oh ye untuk mengelakkan confusion, semua harga emas yang saya ceritakan dalam ni ialah SEJARAH, iaitu mengikut harga emas pada waktu transaksi tersebut dibuat (sekitar tahun 2017 – 2020). Ketika penulisan ini disiarkan harga emas semasa ialah RM315/gram.
Beli Emas GAP dalam gandaan GRAM versus RINGGIT
Lihat jadual harga emas GAP bertarikh 16 March 2020 di atas. Bagi mereka yang nak beli emas dalam gandaan 1gram, mereka akan bayar RM223 (1gram), RM446 (2gram), RM669 (3gram), dan seterusnya. Manakala bagi mereka yang lebih selesa membeli dalam gandaan RM100, mereka akan dapat 0.4484gram (RM100), 0.8968gram (RM200), 1.3452gram (RM300) dan seterusnya.
Dalam kes yang kedua, kita dapat lihat jumlah emas dalam akaun GAP akan ada 4 titik perpuluhan. Jadi ramai yang tertanya-tanya apa yang boleh dibuat dengan emas ‘se-ringan‘ itu? 🤔 Ok harini saya nak jawab soalan ni, dan saya nak ceritakan personal experience supaya lebih senang awak semua nak faham inshaAllah. Dalam contoh ni, anggaplah saya ada baki emas dalam akaun GAP sebanyak 5.0000gram.
Senario 1: Topup Akaun GAP dalam gandaan RINGGIT
Apabila saya membeli emas GAP dalam 4 titik perpuluhan, jumlah emas yang saya miliki dalam akaun GAP takkan genap nombornya. Setiap kali saya topup, nombor titik perpuluhan (bagi emas yang baru dibeli) akan ditambah kepada nombor titik perpuluhan sebelum ini (emas yang sedia ada dalam GAP). Tengok contoh transaksi di bawah:
Contoh: untuk transaksi bulan July 2019, emas yang baru dibeli (+ 0.5025gram) akan ditambah kepada baki emas sedia ada dalam akaun GAP (iaitu 11.5453gram). Jumlah emas dalam akaun selepas pembelian bulan July ialah 12.0478gram. Seterusnya pada bulan Ogos 2019, emas yang baru dibeli (+ 0.4739gram) akan ditambah kepada baki emas sedia ada (iaitu 12.0478gram) menjadikan jumlah emas dalam akaun GAP sekarang 12.5217gram.
Dipendekkan cerita, saya telah menambah emas dalam akaun GAP saya RM100/bulan sehingga bulan Disember 2019. Jumlah emas GAP yang saya miliki dalam akaun GAP saya pada akhir tahun 2019 ialah 14.4359gram 🤗
Senario 2: Withdraw Emas Fizikal dari Akaun GAP
Akaun GAP ialah akaun emas FIZIKAL. Ia berbeza dengan akaun emas MAYA yang hanya menunjukkan NOMBOR GRAM emas yang (kononnya) dimiliki namun TIADA FIZIKALNYA. Dipendekkan cerita, emas yang kita simpan dalam akaun GAP tu boleh dikeluarkan fizikalnya di mana-mana cawangan Public Gold di seluruh Malaysia (bagi emas >20gram) atau boleh atur penghantaran terus ke alamat rumah menggunakan servis courier berinsurans (jika emas <20gram).
Kita boleh keluarkan fizikal emas dalam bentuk goldbar atau dinar. Goldbar memiliki berat yang genap (1gram, 5gram, 10gram, dan seterusnya). Manakala Dinar memiliki berat yang ada satu, dua, tiga atau empat titik perpuluhan (quarter-dinar: 1.0625gram, half-dinar = 2.125gram, 1dinar = 4.25gram, 5dinar = 21.25gram, 10dinar = 42.5gram).
Berbalik kepada topik harini, apabila kita keluarkan goldbar nombor 4 titik perpuluhan dalam akaun GAP TAK terjejas kerana jumlah gram emas yang dikeluarkan ialah nombor genap. Manakala apabila kita keluarkan dinar, nombor 4 titik perpuluhan tu akan berubah mengikut berat dinar yang dikeluarkan.
Dalam contoh transaksi seterusnya, saya telah mengeluarkan sekeping goldbar 5gram dan sekeping 1dinar dari Akaun GAP saya. Lihat apa jadi pada baki akaun GAP saya:
Senario 3: Bagaimana nak ‘genapkan’ nombor yang ada 4 titik perpuluhan dalam Akaun GAP? Jualkan je.
Sebelum ini saya sangka kita boleh genapkan nombor 4 titik perpuluhan dalam Akaun GAP dengan cara topup emas sehingga cukup jadi nombor genap. Dalam contoh di atas saya masih ada baki 5.1859gram dalam Akaun GAP, secara logiknya ini bermaksud saya perlu topup emas sebanyak 0.8141gram untuk menjadikan baki akaun GAP saya 6.0000gram. Katakan harga emas semasa bersamaan RM223/gram, maka saya perlu topup sebanyak RM181.54 (RM223 x 0.8141gram) untuk menggenapkannya. Tak gitu?
Dipendekkan cerita, saya telah bertanya kepada staf Public Gold boleh tak saya nak buat begini. Jawapannya ialah TAK BOLEH, kerana syarikat Public Gold telah buat peraturan yang kita hanya boleh topup GAP dalam gandaan RM50 sahaja (RM100, RM150, RM200, RM250, etc). Ini bermaksud transaksi sebanyak RM181.54 (untuk menggenapkan baki akaun GAP jadi 6.0000gram) adalah tak valid dan tak patut dilakukan.
Namun, apa yang BOLEH kita lakukan ialah kita boleh JUAL emas dalam 4 titik perpuluhan tadi untuk menggenapkan jumlah gram dalam akaun GAP. Dalam contoh di atas, saya boleh JUAL 0.1859gram emas dalam akaun GAP saya dan genapkannya menjadi 5.0000gram. Ketika saya menjual emas tersebut, harga buyback ialah RM204/gram, oleh itu saya telah menjual emas tersebut pada harga RM37.92 (RM204 x 0.1859gram). Boleh rujuk rekod transaksi di bawah:
Pendek kata, jangan risau jika anda lebih gemar membeli emas dalam gandaan RM100 kerana emas dalam 4 titik perpuluhan yang ringan tu TAKKAN vanish hilang begitu sahaja. Meskipun kita TAK dapat nak keluarkan emas tu, kita tetap boleh jual emas tersebut untuk mendapatkan wang tunai pada bila-bila masa. Semoga tiada lagi salah faham tentang isu ni pada masa hadapan 😇.
Penutup
Jadi.. ramai yang tanya saya, mana lebih bagus, simpan emas GAP dalam gandaan 1gram atau gandaan RM100? Bagi saya itu self-preference, ikut lah keselesaan masing-masing. Saya sendiri lebih gemar simpan emas dalam gandaan gram kerana saya selalu jadi pening bila tengok baki emas 4 titik perpuluhan tu 😅.
Namun simpanan dalam gandaan RM100 sangat berguna untuk mereka yang bajet rendah dan bagi mereka yang nak buat Standing Instruction, iaitu pemotongan wang dari akaun bank secara automatik setiap bulan untuk tujuan pembelian emas GAP 🙂.
Ikhlas dari sahabat emas anda,