Salam sejahtera semua,

Pejam celik pejam celik sudah hampir 2 tahun sejak kali terakhir saya siarkan posting di blog EDKS iaitu pada bulan Disember 2020 (link). Mungkin ada yang bertanya: “awak dah berhenti menulis ke?” Sebenarnya saya aktif je sharing tentang emas dalam group whatsapp #EDKS Private cuma saya tak sempat nak menulis panjang di blog ini..

Actually, pada awal tahun 2020 saya telah membuat satu keputusan yang besar dalam hidup, iaitu saya telah berhenti kerja kerajaan untuk menjadi doktor freelance. Saya kemudiannya bekerja di salah satu rangkaian klinik swasta yang baru membuka cawangannya di Kuala Berang (tempat saya tinggal). Saya diberi tanggungjawab untuk menjadi Person-In-Charge (PIC) di klinik tersebut dan dipendekkan cerita seluruh masa dan komitmen saya sepanjang 2 tahun ini digunakan untuk menjayakan klinik tersebut.

Alang-alang buka cerita tentang career, terasa ingin berkongsi tentang kerjaya saya sebagai seorang doktor, bermula dari zaman medical student sehingga akhirnya terpaksa letak jawatan sebagai doktor kerajaan gred UD48. Sebenarnya saya just nak syok sendiri dan mahu abadikan pengalaman dan perasaan saya dalam blog ini untuk dibaca di hari tua kelak, namun semua dijemput untuk ‘cedok pengalaman’ sekiranya berminat 🙂.

Background Story: Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari..

Kerjaya setiap orang bermula dari bangku sekolah. Bermula sebagai salah seorang ‘budak MRSM’ di Pengkalan Chepa, saya berjaya score dalam peperiksaan SPM (2007), dan telah ditawarkan ke Kolej MARA Banting sebagai persediaan untuk belajar jurusan perubatan di luar negara. Selepas melengkapkan sijil International Baccalaureate (IB) selama dua tahun di Kolej MARA (2009), saya telah lulus dengan cemerlang dan diberi tawaran untuk sambung belajar Medic di Ireland di bawah Skim Pelajar Cemerlang. Alhamdulillah..

Up to this point, boleh dikatakan yang saya sangat enjoy the whole academic journey dan juga kehidupan saya sebagai seorang pelajar. Saya seorang yang bersungguh-sungguh dan saya suka challenge diri saya untuk mendapat skor yang terbaik dalam peperiksaan. Saya juga seorang yang aktif bersukan, setiap petang saya akan turun ke padang untuk main basketball, volleyball, ping pong, atau futsal. Most of the time saya main untuk suka-suka je cuma sesekali saya akan mewakili kolej ke pertandingan basketball. Waktu malam biasanya digunakan untuk study namun sesekali saya join member main DotA. Saya juga digelar ‘pak lebai’ kerana kerap menunaikan solat di surau malah sesekali bertugas sebagai bilal/imam. Saya jenis student yang tak suka menonjol dan tak popular. Saya jenis yang suka berkawan dan berkenalan dengan semua orang namun hanya seorang dua je yang betul-betul rapat dengan saya. Saya jenis yang suka stay di asrama untuk study atau buat kerja sendiri (even masa cuti semester) cuma sekali-sekala saya keluar outing ronda-ronda bandar KL. In short, it was a good, simple, yet fulfilling life.

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Saya memang berharap kehidupan yang ‘tenang’ ni akan berterusan but that’s NOT gonna happen. Sebaik melangkahkan kaki ke jurusan kedoktoran saya mula ditimpa ujian demi ujian. Sebelum ini saya pernah share tentang betapa stress-nya kehidupan saya sebagai seorang pelajar Medic di Ireland (link).

Selepas tamat undergrad, saya ingatkan zaman stress tersebut sudah berakhir. Rupa-rupanya itu hanyalah permulaan. Kehidupan sebagai House Officer (HO) selama 2 tahun di Hospital USM dan Medical Officer (MO) selama 3 tahun di Hospital Hulu Terengganu cukup mencabar fizikal, mental dan emosi saya dan keluarga. Jika dilihat pada stress curve (carta ukur kesan stress terhadap emosi seseorang), kehidupan saya semenjak terjebak dalam dunia Medic ni banyak berkisar di zon oren (too much stress) dan merah (burn-out). Apabila terlampau lama berada dalam zon yang ‘tidak sihat’ ini (10tahun lamanya), minda dan emosi saya sangat terkesan, menyebabkan saya sentiasa mencari peluang untuk quit terutamanya 2tahun yang terakhir tu. Quit untuk apa? nak cari gaji lebih ke? Sebenarnya saya hanya inginkan kerjaya yang lebih tenang (iaitu di zon hijau atau kuning pada stress curve) dan inginkan kehidupan yang lebih seimbang.

Kesan Stress Terhadap Emosi Saya (Stress Curve):
1) Medical student di RCSI- Fatigue (zon oren)
2) HO di HUSM- Exhausted (zon oren-merah)
3) MO di HHT- Breakdown (zon merah)

House Officer: 2 tahun yang digeruni (2015 – 2017)

Selepas tamat belajar di RCSI, saya berpeluang untuk take the easy path iaitu sambung internship di Ireland (umumnya internship di sana lebih relax berbanding di Malaysia). Namun saya mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia kerana saya sudah berkahwin dan isteri bakal melahirkan anak pertama tak lama lagi. Oleh kerana isteri juga seorang doktor, kami memerlukan family support untuk menjaga anak ketika mengharungi zaman housemanship, iaitu tempoh dua tahun yang pertama dan paling getir dalam career path seorang doktor.

Saya dipanggil untuk berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan Siswazah (nama glamour: House Officer atau HO) di Hospital USM (Universiti Sains Malaysia), Kelantan pada bulan Mac 2015. Ketika housemanship, saya perlu mengharungi attachment di 6 department (4months each department) iaitu Jabatan Perubatan, Pembedahan, Sakit Puan, Kecemasan, Tulang dan Kanak-kanak. Setiap attachment ada pengalaman pahit dan manisnya sendiri, kesemuanya tough dan memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang sangat tinggi.

Sebagai seorang house officer, saya kerja tak putus-putus dari pagi sampai gelap. Bermula dengan morning round bersama pakar, terus sambung buat kerja-kerja wad seperti ambil darah pesakit, masukkan IV line, cuci luka dan sebagainya. Seterusnya pergi request urgent ultrasound/CT-scan di Radiology, rujuk pesakit kepada kepakaran lain, clerking pesakit-pesakit yang baru masuk wad, evening round, menghadiri kelas CME dan lain-lain. Waktu balik memang tak menentu, biasanya dah gelap baru balik kerja. Kerja 6 hari seminggu dan salah satu hari tersebut saya akan bermalam di hospital untuk menjalankan tugas oncall yang lebih menyakitkan kepala. Kerja berterusan selama 36jam memang mencabar, lebih-lebih lagi kalau tak dapat tidur langsung sepanjang malam ketika oncall.

Kebanyakan harinya saya memang tak sempat nak lunch. Biasanya saya makan roti gardenia dan air kotak milo yang dibekalkan dalam beg (macam budak sekolah pulak rasa). Kadang-kadang tu nak buang air pon tak sempat, macam nak pecah bladder tahan kencing. Solat pon boleh luangkan 10minit je, tak boleh nak duduk lama-lama. Yang paling tak best time houseman ialah hampir setiap hari dimarahi doktor lain yang lebih senior. Nak buat macam mana, peringkat awal ni memang banyak kekurangan jadi selalu la ‘ditegur’ kann. Tapi kadang-kadang tu memang down sepanjang hari dibuatnya..

Namun, bukan semuanya negatif masa junior doctor ni.. Ada je hari-hari yang adrenalin rush ketika cuba menyelamatkan nyawa pesakit. Ada hari kerja sangat menyeronokkan kerana dapat mencuba sesuatu yang baru (atau buat prosedur yang tak pernah buat). Ada juga hari yang menggembirakan sebab dapat lihat pesakit yang telah lama dirawat dalam wad discharge dari hospital dalam keadaan yang sihat wal afiat. Selain itu, ada ketikanya saya ditugaskan dengan team yang awesome, memang best dapat kerja dengan member dan senior doctor yang sangat sporting dan memahami.

Antara kenangan terindah saya semasa housemanship ialah ketika bersama TEAM Orthopedic Oncology & Reconstructive (OORU). Dari HO dan MO, hingga Specialist dan Consultant semuanya kawtim.

Sebenarnya, saya tak kisah sangat kalau bebanan kerja ni tak mengganggu kehidupan peribadi (juga dipanggil work-life balance) namun itu-lah yang berlaku kepada saya. Saya dan isteri bergilir-gilir pergi kerja, saya baru balik kerja dia baru nak pergi, dan sebaliknya. Memang susah nak luangkan waktu bersama. Time balik badan dan minda memang sangat penat, hanya fikir nak isi perut, nak rehat-rehat dan terus masuk tidur. Yelah, esok nak kerja lagi. Quality time memang terhad..

Anak pula memang terabai. Nenek, atuk, uncles dan aunties lah yang tolong mandikan, suap makan, basuh yakyak, tukar pampers dan sebagainya. Memori saya tentang anak masa dia baby sangat scarce. Hanya ingat sibuk kerja je, sedar-sedar anak dah besar. Memang setiap pagi saya cuba untuk keluar rumah sebelum anak bangun. Bukan apa, kalau anak dah bangun mesti ber’kaca’ mata saya ni melambainya di tangga rumah. Saya memang takkan lupakan moment ini selama-selamanya. Ketika itu, saya berjanji kepada diri sendiri yang saya akan cari ‘jalan keluar’ dari kesempitan ni by hook or by crook. Sebenarnya saya hanya ingin meluangkan lebih banyak masa kepada keluarga terutamanya semasa anak sedang membesar. Inilah Big Why saya..

Jika anda pernah dengar cerita tentang doktor-doktor yang telah quit, kebanyakannya letak jawatan sebagai pegawai perubatan kerana tak tahan dengan stress dan bebanan kerja, atau tak tahan dibuli doktor lain yang lebih senior. Biasanya mereka berhenti semasa housemanship, kerana waktu ni memang kritikal – ramai yang mengalami breakdown secara fizikal dan mental, dan ramai yang burnout.

Kebanyakan mereka yang quit terpaksa ‘cari makan’ di bidang yang lain, malah ada antara mereka yang terus menganggur bertahun-tahun lamanya. Ini kerana tanpa menghabiskan tempoh latihan dua tahun sebagai houseman, mereka tidak akan diberi sijil amalan tahunan dan sijil MMC, iaitu syarat utama yang membolehkan seorang pengamal perubatan untuk bekerja di Malaysia. Kiranya walaupun sangat stress, saya tetap bersyukur kerana berjaya tamatkan housemanship sehingga ke penghujungnya. Alhamdulillah..

Medical Officer: 3 tahun yang perit (2017 – 2020)

Selepas tamat housemanship, saya dan isteri ditukarkan ke negeri Terengganu untuk sambung bertugas sebagai medical officer (MO) di daerah Hulu Terengganu. Saya ditugaskan di hospital daerah dan isteri pula di klinik kesihatan. Kami tinggal di rumah sewa di sini, awal-awal tu agak susah nak settle down kerana kami memang tiada waris langsung di Terengganu (sebelum ni kami memang banyak mengharapkan keluarga untuk urusan harian terutamanya anak). Namun kami tetap bersyukur kerana boleh tinggal bersama dan tak perlu PJJ (Perhubungan Jarak Jauh) seperti sebahagian kakitangan kerajaan yang lain.

Bekerja di hospital daerah memang challenging. District doctor kena mahir segala aspek dunia perubatan kerana semua jenis kes kitaorang kena tengok. Selain pesakit tenat yang memerlukan rawatan kecemasan, saya perlu merawat pesakit-pesakit kronik ketika temujanji berkala di Visiting Specialist Clinic. Ada ketikanya saya perlu attend ibu mengandung yang mengalami komplikasi ketika nak beranak, dan juga perlu frequent review kanak-kanak yang sedang lelah di wad. Kadang-kadang saya perlu tengok pesakit di Unit Dialysis yang mengalami komplikasi ketika cuci darah, menguruskan transfusi darah pesakit di Klinik Thalassemia, screen contact pesakit Tibi di Chest Clinic, interview donor yang ingin menderma darah di Blood Bank, membantu staf kesihatan yang merokok untuk berhenti di Klinik Berhenti Merokok dan sebagainya. Pendek kata, saya dah jadi jack of all trades, master of none.

Jujurnya sebelum ni saya beranggapan selepas tamat zaman housemanship, tentunya kehidupan seorang doktor akan jadi lebih baik. Lebih konfiden nak merawat pesakit, lebih bebas memilih tugasan, lebih banyak peluang untuk bersosial dengan rakan sekerja, lebih banyak masa untuk keluarga, dan lebih mudah nak bercuti terutamanya di hari perayaan. Namun selepas tiga tahun bertugas di hospital daerah, saya beranggapan perit juga kehidupan saya sebagai medical officer di sini..

T-shirt menjadi ‘baju raya’ untuk 2 tahun berturut-turut. Saya sentiasa ‘terkena’ oncall di Aidilfitri.

Sebenarnya perkara yang paling menyeksa fizikal, mental dan rohani saya ketika bekerja di hospital daerah ialah bebanan oncall. Kitaorang terpaksa menjalankan tugasan oncall sebanyak 8x -9x setiap bulan kerana jumlah doktor sikit (jika anda masih ingat, saya hanya oncall 1x seminggu bersamaan 4x sebulan ketika HO dulu). Setiap kali oncall memang selalu sibuk hingga ke pagi – pesakit di kecemasan ramai, pesakit dalam wad yang tak stabil pon ramai, kadang-kadang kena naik ambulans hantar pesakit ke hospital besar di Kuala Terengganu, pagi esok kena sambung kerja harian macam biasa. Kiranya selepas balik rumah baru boleh rest properly. Setiap bulan saya terpaksa oncall every other day (EOD). Malah saya pernah oncall EOD sebanyak 5 hari berturut-turut. Tak sempat nak recover, Memang penat nak mati..

Kadang-kadang jealous juga tengok kawan-kawan yang dapat placement yang lebih relax di hospital berpakar atau klinik kesihatan. Fikir saya: tentu bebanan kerja mereka lebih ringan dan work-life balance lebih terjaga. Sebaliknya saya memang bagai tiada life. Full weekend hanya dapat 1x sebulan (max 2x) kerana jadual oncall yang ketat. Public holiday kadang-kadang dapat, kadang-kadang kerja. Oncall pada Hari Raya itu biasa. Balik kampung 3bulan sekali je walaupun perjalanan balik tak sampai 4 jam pon. Bukan apa, penat nak drive jauh-jauh, baik tido rehat kat rumah je, kalau cuti panjang ok la nak balik..

Namun yang bestnye kerja di hospital daerah ialah everyone knows everybody. Jumlah staff 300+ je di hospital kecil ni (jumlah doktor dalam 13-15 orang), jadi kitaorang memang saling kenal-mengenali bagai satu keluarga yang besar. Waktu susah sama-sama susah, waktu senang sama-sama senang, waktu makan sama-sama makan, waktu gaduh sama-sama gaduh, waktu raya saling bermaafan. Time raya memang best, setiap minggu ada jamuan dianjurkan setiap jabatan secara bergilir-gilir.

Antara kenangan terindah di Hospital Hulu Terengganu ialah ketika saya menyertai Program Kembara Bebas Asap Rokok ke Gua Musang Dan Cameron Highlands

So.. kenapa sebenarnya saya letak jawatan sebagai seorang doktor kerajaan?

Setelah jauh saya pusing cerita, elok jika sekarang saya fokus untuk jawab soalan utama sharing kali ni iaitu kenapa sebenarnya saya berhenti kerja kerajaan? Seperti yang diceritakan di atas, sebenarnya saya gembira je bertugas di tempat sedia ada iaitu dari segi suasana kerja yang best. Namun hidup ini bukan semata-mata untuk kerja sahaja, ada banyak aspek lain yang perlu dipertimbangkan seperti agama, keluarga, kelapangan masa, impian hidup serta kesihatan diri. Kita perlu seimbangkan semua aspek ni baru-lah hidup lebih bermakna.

Selepas dua tahun di-ragging oleh bebanan jadual oncall yang never ending, kesannya telah menusuk ke dalam minda dan jiwa saya. Tiada lagi keseronokan bekerja, pagi-pagi mesti muram je terutamanya hari oncall. Emosi pon jadi tak stabil, selalu je nak marah-marah. Rakan tempat kerja, isteri dan anak sering jadi mangsa tempias stress. Jika sebelum ni Subuh di surau, sekarang tak larat dah nak bangun awal, solat kat rumah dan terus sambung tido lepas tu.

Oleh kerana tiada full weekend dan kurangnya hari bercuti, saya tak sempat nak recover (secara fizikal dan mental) dari kepenatan bekerja. Apabila kepenatan ini pile up hari-demi-hari, minggu-demi-minggu, bulan-demi-bulan, tahun-demi-tahun, anda boleh bayangkan betapa lifeless-nya saya. Bagaikan zombie yang merayap ke hulu ke hilir, gitu la kot rupa saya masa tu. Bila dah sampai tahap gini, saya fikir saya perlu lakukan sesuatu untuk mengubah keadaan kerana:

اِنَّ اللّٰهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتّٰى يُغَيِّرُوۡا مَا بِاَنۡفُسِهِمۡ

…Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.. – Ar-Ra’d: 11

Masa tu baru saya sedar yang Kementerian Kesihatan Malaysia, Pengarah Kesihatan Negeri, Pengarah Hospital (golongan atasan lah senang cerita) atau sesiapa pon memang tak dapat nak membantu saya lagi dah. Jika tidak, sudah tentu mereka dah hantar ramai MO ke hospital ni untuk mengurangkan bebanan oncall kitaorang. Namun sudah 2 tahun saya menunggu, masalah basic ni tak pernah selesai. Nampaknya saya perlu berdikari dan cari penyelesaian sendiri. I have to do something myself instead of relying on others – bisik hati saya. Saya mula lihat pada options yang saya ada. Umumnya doktor kerajaan yang sudah 5 tahun bekerja ada beberapa pilihan:

  1. PERTAMA: terus bekerja kerajaan, aim untuk sambung belajar master program dan jadi PAKAR. Oleh kerana saya dah sekian lama hilang passion terhadap ilmu perubatan, pilihan pertama dah OUT. Bukan apa, nak sambung master ni sangat challenging. Seorang master student bukan sahaja bekerja seperti doktor lain, malah dia perlu luangkan masa untuk belajar selepas waktu bekerja. Bayangkan dah la kena kerja, oncall dan penat macam orang lain, tambah lagi bebanan study. Boleh tahan ramai juga doktor yang saya kenali yang gagal habiskan master program walaupun mereka sangat passionate belajar ilmu perubatan. Apatah lagi saya yang memang dah tiada minat ni, kalau gatal pergi amik master, agak-agak apa akan jadi? Another 4 years of torment? no way..
  2. KEDUA: terus bekerja kerajaan, aim untuk jadi KRONIK MO sampai pencen. Jika saya mahu ambil pilihan kedua, saya kena hantar permohonan untuk tukar tempat kerja dan tawakkal semoga saya ditukarkan ke tempat kerja yang lebih baik. Ini kerana Jabatan Kesihatan Negeri yang tentukan saya dihantar ke mana, takut juga kot-kot dihantar ke tempat yang jauh, nanti terpaksa PJJ dengan keluarga. Lagipon semua orang tahu yang department yang relax biasanya dah tiada kekosongan. Dah namanya pon relax, tentunya ramai kronik MO mohon nak masuk situ, dan mereka yang dah berjaya masuk takkan mohon untuk keluar dari situ.. Kiranya jika ambil pilihan kedua, kemungkinan untuk saya ditukarkan ke tempat kerja yang makin tak best tetap ada. no way..
  3. KETIGA: berhenti kerja kerajaan dan teruskan career di tempat lain (SWASTA). Maka saya hanya tinggal pilihan yang terakhir iaitu berhenti kerja kerajaan dan switch ke sektor swasta. Betul ke saya nak berhenti kerja gomen? Termenung saya fikir tentang kelebihan dan kekurangannya. Bukan apa, orang lain berebut nak kerja kerajaan, saya pula nak berhenti, tak ke pelik tu? Memang lama saya termenung, lebih kurang setahun juga lah huhu.

Namun bila saya fikir balik, sebenarnya pilihan terakhir ni tick all boxes untuk saya. Saya tak perlu oncall lagi dah, saya boleh pilih nak bekerja di mana dan pada waktu mana ikut keselesaan. Saya boleh bercuti pada bila-bila masa, dapat full weekend dan boleh tunggu sehingga full recovery sebelum masuk kerja, tentunya saya lebih semangat bekerja sekiranya dapat rehat yang mencukupi. Dan yang paling penting ialah saya ada lebih banyak masa untuk keluarga dan perkara lain yang lebih bermakna dalam hidup. This option allows me to take matters into my own hand..

Meskipon telah meninggalkan kerjaya di hospital kerajaan, saya takkan lupakan segala kenangan pahit dan manis yang banyak membentuk jati diri saya sebagai seorang manusia..

Sambungan cerita di Part 2..

Time flies.. kita tak boleh nak rewind balik masa yang dah berlalu, tapi kita boleh manfaatkan sepenuhnya masa yang ada sekarang dan rancang sebaiknya untuk masa depan. Setelah berfikir panjang (memang lebih setahun lamanya saya fikir), akhirnya saya buat keputusan untuk letak jawatan. Walaupun saya terpaksa tinggalkan comfort zone, saya yakin pilihan ini lebih baik dalam jangka masa panjang InshaAllah.

Memang betul kata orang: jika kita mahukan masa depan yang lebih baik, kita perlu lakukan perubahan bermula HARI INI. Tentunya risiko bekerja di sektor swasta itu ada, namun saya lebih rela berhadapan dengan risiko tersebut sekarang daripada terus mengorbankan diri dan keluarga bekerja di sektor kerajaan. Saya akan ceritakan bagaimana saya buat perancangan/persediaan untuk quit gomen dalam perkongsian yang akan datang (link).

Ikhlas dari sahabat emas anda,