Salam sejahtera,

Semoga kita semua sihat sokmo-sokmo. Harini saya nak buat posting tentang pengalaman saya belajar Medic di Ireland dulu. Sebenarnya saya just nak ‘abadikan’ kenangan saya somewhere sebelum saya terlupa terus semua pengalaman saya tu (maklum lah, umur pon dah masuk 3-series ni 😅). Alang-alang tu bagus jugak kalau saya menulis di blog ni je terus, mana tau kot-kot ada orang lain yang dapat manfaat dari cerita saya.

Skim Pelajar Cemerlang

Saya antara pelajar yang bertuah kerana berpeluang untuk belajar Medic di Royal College of Surgeons in Ireland (RCSI) selama 5 tahun di bawah tajaan MARA (Skim Pelajar Cemerlang). Selain membayar yuran universiti, MARA juga tanggung perbelanjaan bulanan kitaorang dengan memberi ‘duit makan’ sebanyak €935 setiap bulan sepanjang 5 tahun (bersamaan lebih kurang RM3,500 duit Malaysia ketika itu). Kadar biasiswa ni ikut lokasi. Oleh kerana saya belajar di Dublin yang kos sara hidupnya tinggi, kitaorang diberikan rate biasiswa yang agak tinggi. Walaupun jumlah yang diberikan tidak sebanyak pelajar dari negara Arab (biasiswa diaorang hampir €3000 setiap bulan..!), namun ia mencukupi untuk kitaorang hidup bersederhana dan ada la duit lebih sikit untuk happy-happy. Thanx MARA, we love you soo much 😘

But, there’s a catch.. biasiswa yang diberikan ada syaratnya iaitu kitaorang mesti bayar balik sebahagian duit biasiswa tersebut selepas habis belajar (sama ada lulus dengan berjaya atau diberhentikan kerana gagal). Perjanjian tu lebih kurang macam ni:

  1. Jika berjaya habis belajar dalam masa 5tahun (maksudnya lulus SEMUA peperiksaan), kitaorang perlu bayar 1% sahaja dari keseluruhan biasiswa. Katakan keseluruhan biasiswa RM1.5juta, maka kitaorang hanya perlu bayar RM15,000. Ok la tu.
  2. Jika gagal exam untuk SATU tahun namun berjaya habis belajar dalam masa 6tahun (5tahun + 1tahun repeat year), maka kitaorang perlu bayar balik 1% daripada biasiswa 5tahun TAMBAH semua duit yang MARA bagi untuk 1tahun yang repeat tu.
  3. Jika gagal exam untuk DUA tahun, kitaorang dikira fail dan biasiswa akan ditamatkan serta-merta. Jika jadi macam ni, kitaorang kena bayar balik 100% duit biasiswa yang MARA dah belanja untuk kitaorang tu (termasuk yuran universiti).

Mujurlah saya dalam kategori nombor 1, jumlah hutang yang perlu dibayar sekitar RM20,000 sahaja. Jadi lepas balik Malaysia saya terus bayar kesemuanya guna duit yang telah berjaya disimpan. Syukur sangat-sangat saya tak dibelenggu hutang pelajaran yang membebankan. Alhamdulillah..

Ada rakan saya yang kurang bernasib baik dan terpaksa repeat year 1 tahun, jadi dia termasuk dalam kategori nombor 2. Hutang pelajaran yang terpaksa ditanggung sekitar RM80,000. Memang jauh bezanya walau extra satu tahun je yang kena repeat. Tak mampu nak bayar lump sum, kena tolak gaji bulan-bulan..

Nombor 3 tu la yang paling menakutkan. Kalau gagal masa First year ok lagi, hanya perlu bayar hutang belajar untuk 2 tahun je (Tahun 1 + Repeat year), itu pon kira-kira sekitar RM100,000 – RM200,000 dah.. Cuba bayangkan kalau gagal masa Final year? Kena bayar hutang untuk 6tahun tu (Tahun 1-5 + Repeat year). Kompem lebih sejuta ringgit tu bang.. Dah la balik Malaysia dengan tangan kosong (degree TAK DAPAT), kena tanggung hutang ‘seumur hidup’ pulak tu.. bukan sikit mereka yang tersangkut dalam kategori nombor 3 ni, memang kesian kat mereka..

RCSI Class of 2014

Bermula dengan semangat yang membara..

Sebaik sampai di Ireland, kitaorang diberitahu yang kelas akan bermula keesokan harinya. Padahal kitaorang baru je nak biasakan diri dengan kehidupan oversea. Baru nak belajar cari kedai makanan halal, barangan dapur, buah-buahan dan sayuran segar. Baru nak pergi buka akaun bank. Baru nak kenal jalan pergi kolej. Baru nak tanya cara beli tiket bas. Baru nak beli simkad telefon. Banyak-nya la benda yang tak tahu dan tak terurus lagi tapi dah terpaksa masuk kelas dengar lecture 😵

Sebagaimana anak-anak muda yang lain, tentunya saya sangat bersemangat setibanya di Ireland. Biasalah, awal-awal ni hati tengah on fire nak menuntut ilmu gitew 🔥. Setiap hari saya mesti pergi kolej awal, boleh flip through nota kuliah sebelum kelas bermula. Lepas habis kelas sekali-sekala saya stay back, nak ulangkaji dan pastikan faham elok-elok semua yang dah belajar dalam kelas tadi. Lepas balik rumah saya akan makan, mandi dan buat nota sikit sebelum masuk tido. Jika awak rasa saya nerd, ye saya mengaku saya memang agak nerd 🤭.

Sebenarnya, saya ni jenis yang bersungguh-sungguh dalam apa yang saya buat, tapi saya bukannya jenis yang all works and no play.. Sekali-sekala saya akan beriadah dengan student lain, sama ada main bola sepak atau main basketball di park terdekat (biasanya weekend la). Tapi sebenarnya jika TAK bersukan sekalipon, saya masih boleh amalkan gaya hidup yang aktif di Ireland. Bukan apa, berjalan sejauh 5km untuk pergi ke sekolah atau ke tempat kerja adalah BIASA. Jika jarak lebih dari 5km, boleh naik basikal. Di sini semua orang naik basikal. Bukan sahaja budak sekolah malah orang tua yang dah beruban pon naik basikal selagi ada kudrat. Memang fit diaorang ni – bisik hati saya.

Saya turut terjebak naik basikal semasa di Ireland. Mujur-lah begitu, saya berjaya jimatkan >50% commuting time saya dengan menaiki basikal (versus naik Dublin Bus). Sebagai contoh, jika saya mengayuh ke Beaumont Hospital (9km dari rumah) saya boleh sampai dalam masa 40minit semasa pergi dan 30minit semasa balik (jalan balik tu lebih cepat sebab turun bukit). Sedangkan jika saya naik Dublin Bus, paling cepat saya boleh sampai ke hospital ialah 50minit atau 1jam. Jika hari hujan, sejam setengah pon belum tentu sampai bas tu. Bukan apa, jalan raya di bandar Dublin ni tak luas macam Kuala Lumpur, jalannya 1 lorong atau 2 lorong je sehala, sempit-sempit pulak tu. Cuba bayangkan naik bas tu masa peak hours, tak ke sangkut dalam jem? Dah la banyak kali kena berhenti untuk ambil/turunkan penumpang, selalu je terlepas lampu hijau. Memang stress..

Selain aktiviti-aktiviti melibatkan belajar, saya juga kena buat kerja-kerja dapur. Kalau sebelum ni potong bawang pon tak pernah, sekarang saya kena masak untuk 14 orang makan. Oleh kerana saya menyewa sebuah rumah bersama 13 orang yang lain (semua Melayu), kitaorang buat roster gilir-gilir masak. Selepas lama cuba belajar masak, saya jump to conclusion yang saya ni memang takde bakat memasak 😅. Kiranya, saya masak setakat untuk isi perut je la, nak sedap-sedap memang tak jadi. Pernah sekali tu saya cuba masak lauk ayam pedas. Salah seorang housemate yang baru lepas makan puji masakan saya (mungkin dia mahu ambil hati saya je kot), katanya TOMYAM saya memang sedap. Tiada keraguan lagi, lauk ayam pedas saya tu memang fail tahap gaban.. Haha! 😝

Secara teori, Ireland ni negara 4 musim namun realitinya ia negara yang sejuk, hujan dan ‘muram’ sepanjang tahun, huhu. Bukan kitaorang je yang depress dengan cuaca di sana ok, Irish sendiri asyik duk komplen pasal cuaca diaorang ☔️.Suhu pada musim sejuk sekitar -7°C dan pada musim panas sekitar 17°C sahaje. Walau masa summer sekalipon, matahari bagai takde haba, sejuk semacam je, kalau time winter tak yah citer, semua aktiviti (tido, belajar, makan, main game, etc) buat dalam duvet je la. Kadang-kadang tu ada hari yang nampak macam cerah, tapi baru je nak keluar rumah tetiba turun pulak hujan batu..! Memang pelik-pelik la cuaca kat sana..

Waktu solat kat sana pon berubah dengan sangat ketara sepanjang tahun. Masa musim sejuk, nak sembahyang Subuh pukul 8.30AM boleh lagi (masih dalam waktu), manakala waktu Isyaknya seawal pukul 6PM (bayangkan betapa panjangnya malam pada musim sejuk). Maghrib masuk pukul 4.15PM okey. Nak puasa memang best time musim sejuk ni, belum sempat rasa lapar dah boleh berbuka 🤭. Sebaliknya pada musim panas, waktu malamnya sangat pendek. Subuh masuk seawal 3AM, dan waktu Isyak pula lewat, pukul 11.30PM baru masuk waktu. Sapa-sapa yang puasa masa musim panas ni memang besar lah pahalanya ye (Maghrib pukul 10PM baru masuk).. Alhamdulillah

Dari segi amalan, memang setiap orang kena jaga ibadat masing-masing. Takde dah mak bapak nak kejut bangun Subuh setiap pagi, kita sendiri yang kena bangun dan selesaikan tanggungjawab tu. Jika kita duduk dalam komuniti orang Islam (biasanya kawasan perumahan berdekatan Masjid), at least ada juga orang yang akan ingatkan jika alpa, dan mereka akan selalu ajak kita ke masjid. Jika takde peringatan macam tu, boleh hanyut dibuatnya. Maklumlah maksiat, arak dan zina di mana-mana sahaja di bumi Eropah ni. Oleh kerana rumah yang saya sewa terletak betul-betul di hadapan Dublin Mosque, tiada masalah untuk kitaorang pergi solat berjemaah setiap hari. Azan dibenarkan berkumandang pada hari Jumaat dan hari Raya je (tu pun syukur sangat dah). Waktu solat yang lain jangan buat-buat lupa, sila check jadual waktu solat ye.

  • Masa mula-mula fly memang excited (Frankfurt Airport)

Hilangnya passion pada ilmu perubatan..

Pada peringkat awal, semua pengalaman belajar di luar negara memang best-best belaka, ye la tengah excited kann.. Namun selepas beberapa bulan, keseronokan tu beransur-ansur hilang. Bukan apa, exam semester pertama dah makin dekat dan hati saya pon dah makin risau.. Sebenarnya, saya sedang hadapi masalah yang sangat besar iaitu saya tak dapat nak cope dengan KUANTITI ilmu perubatan yang perlu dihafal. Cuba awak bayangkan, untuk semester yang pertama sahaja, kitaorang ada 6 modul dan setiap modul ada sekitar 60 hingga 70 lectures. Setiap nota lecture tu ada 40 hingga 100 mukasurat menjadikan jumlah keseluruhan ilmu yang perlu dihafal paling kurang 15,000 mukasurat..! 😖

Baru semester pertama dah kena ingat 15,000 mukasurat yang packed dengan ilmu perubatan, memang saya TAK expect langsung begitu banyak kuantitinya. Saya berani kata jumlah yang saya perlu tahu dalam satu semester di universiti lebih banyak daripada keseluruhan ilmu yang saya belajar selama 2 tahun ketika membuat persediaan di Malaysia. Saya terkejut, saya overwhelmed, dan saya bagai terpaku begitu sahaja. Nampaknya saya telah underestimate kesusahan nak belajar Medic, sekarang baru saya tahu betapa susahnya nak menjadi seorang doktor.

Jika anda rasa saya sepatutnya fokus untuk memahami ilmu perubatan dan bukannya menghafal, percayalah yang saya ni memang jenis yang senang nak faham apa yang saya baca dari nota atau dengar dari pensyarah. Masalahnya sekarang ialah saya jenis yang susah nak menghafal. Walaupun saya dah faham sesuatu konsep secara overall, saya susah sangat nak ingat details yang kecik-kecik. Dan dalam ilmu perubatan, teramat banyak sangat-lah benda kecik-kecik yang perlu DIINGAT namanya. Setiap perincian anatomi tubuh manusia (dari hujung rambut ke hujung kaki), setiap receptor dan bahan kimia dalam tubuh (cytokine, hormon), setiap ubat (nama, fungsi dan kesan sampingan), malah nama chemical yang digunakan untuk tengok sel atau kuman bawah mikroskop pon kena ingat. Memang disaster la..

Ketika saya sedar yang saya tak boleh nak cope dengan kuantiti ilmu perubatan yang terlampau banyak, saya cuba dapatkan nasihat senior. Tentunya diaorang lebih tahu kerana mereka dah pernah jawab soalan-soalan exam tu sedangkan saya takde idea langsung soalan macam mana yang akan keluar. Jawapan yang saya dapat memang membimbangkan, diaorang kata saya MEMANG kena ingat details dan nama benda-benda kecik tu sebab nanti dalam soalan, diaorang akan cuba konfiuskan student dengan beberapa pilihan jawapan yang lebih kurang sama bunyinya jadi kalau nak harapkan teka-teka memang bahaya la. Malah kitaorang juga ada soalan berbentuk karangan, kalau tak ingat nama-nama yang spesifik tu jawabnya ‘menggoreng’ sampai hangit pon takkan dapat markah..

Saya tergamam. Bukan sekejap, seminggu dua jugak saya tak boleh fokus. Saya tak boleh study. Masa tu saya hanya tinggal 2 bulan lagi nak exam. Silibus semester masih ada sekitar 20%. Dari 80% silibus yang dah lepas, not even half sudah dibaca balik dan faham (tapi tak ingat). Saya cuba buat timeline untuk persediaan peperiksaan tapi saya perasan yang saya takkan sempat baca dan ingat semua ilmu-ilmu ni dalam jangka masa yang singkat. Dah la saya ni jenis yang takleh study last minute..

Saya rasa defeated. Saya rasa hopeless. Bayangan kegagalan menghantui saya. Saya jadi sangat risau, saya takut kena tanggung hutang MARA seumur hidup. Dan ketika ini-lah saya mengalami BURNOUT SYNDROME.. Tiada lagi keseronokan belajar Medic walaupun ilmu tentang tubuh manusia dan penyakit-penyakit ni memang dari kecik lagi saya minat. No more fun learning.. Tak sangka passion tu boleh hilang. Baru skejap belajar Medic, malah tak sampai 6 bulan pon. Paling kesian, sampai sekarang pon saya tak jumpa balik ‘keghairahan’ untuk mendalami ilmu perubatan. Forever lost.. 😢

Walaupun begitu, saya tetap paksa diri untuk belajar bersungguh-sungguh. Saya bertekad TAK NAK gagal dalam peperiksaan, dan TAK NAK carry hutang pelajaran seumur hidup. Dan Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan undergrad saya dengan jayanya – dapat second class honour pulak tu. Kira ok la, dua orang je dari Malaysia yang dapat second class, takde yang dapat first class. Namun begitu, sepanjang 5 tahun undergrad, saya telah mengharunginya dengan OTAK semata-mata dan bukannya dengan HATI.. If you know what I mean..

Nampak nota warna warni dalam gambar ni? Nota ni ringkasan untuk 1 lecture yang sederhana panjang. Biasanya saya kena study sehari suntuk baru boleh faham betul-betul dan siapkan sekeping dua nota macam ni. Dalam satu semester (4 – 5bulan) ada lebih kurang 400 lectures. Agak-agak sempat tak saya nak baca atau hafal kesemuanya sebelum exam..? 💀

Manusia dijadikan berbangsa-bangsa supaya kita saling berkenalan antara satu sama lain..

Jika awak diberi peluang untuk belajar di luar negara, pergi-lah merantau dan bergaul-lah dengan semua orang. Percayalah, minda dan pandangan awak akan terbuka luas berbanding awak kekal di dalam Malaysia sahaja. Ketika di Ireland, saya mengelak daripada ‘melekat’ dengan member Melayu sahaja, kerana saya mahu bergaul dengan student dari negara lain juga. Dari segi pertuturan kadang-kadang ada problem jugak. Iya lah, diaorang ni ada ‘loghat’ masing-masing. Memang cakap Bahasa Inggeris, tapi lain bunyi-nya. Dah la saya ni jenis lidah tak berapa lentuk, cakap memang bunyi Manglish walau dah 5 tahun kat sana. Selalunya diaorang faham je. Jika tak, saya kena ulang beberapa kali atau cuba re-phrase ayat tu. Dan non-verbal communication penting juga, kadang-kadang tu diaorang tak faham perkataan yang disebut tapi bila tengok bahasa badan saya, diaorang dapat ‘tangkap’ apa yang saya cuba sampaikan.

Tempoh 5 tahun di kolej kitaorang boleh dibahagikan kepada dua. First half tu fokus kepada teori dan Second half tu lebih kepada sesi klinikal. Masa First half tu student Melayu memang ramai (sekitar 30%) sebab adanya pelajar twinning program dari Penang Medical College (PMC). Oleh kerana ramai sangat Melayu masa ni, biasanya dalam kelas saya akan duduk sebelah kawan Melayu je. Saya cuba jugak nak bergaul dengan student dari negara lain tapi kurang la. Selain pelajar tempatan (Irish), ada pelajar dari Timur Tengah, Amerika, Canada, Hong Kong, South Africa, Mauritius, Germany dan lain-lain. Boleh kata international jugak la tempat saya belajar ni 🌍.

Apabila masuk Second half, jumlah pelajar Malaysia tinggal sikit je sebab geng twinning program balik Malaysia untuk sambung belajar di PMC. Jumlah pelajar Malaysia yang masih di Ireland untuk tamatkan 5 tahun pengajian di sini hanya tinggal 20 orang sahaja (~6% keseluruhan batch). Bagus jugak sebenarnya sebab bila dah tinggal sikit gini, saya jadi macam ‘terpaksa’ bergaul dan berkenalan dengan student dari negara-negara lain terutamanya bila kitaorang pergi clinical attachment di luar Dublin. Malah masa tu saya sengaja tak memilih travel partner Melayu (walaupun boleh buat gitu) kerana saya nak keluar dari comfort zone, boleh juga saya kenal-kenal student dari negara lain bila pegi attachment dengan diaorang, tak gitu? Hasilnya, banyak saya belajar tentang kehidupan di negara lain yang saya selamanya takkan tahu jika tak dengar dan feel sendiri cerita diaorang ni.

Oleh kerana saya belajar di Ireland, orang yang paling banyak saya berurusan dan bergaul tentulah dengan orang tempatan (Irish). Selepas 5 tahun di sana, boleh saya simpulkan yang Irish ni sangat friendly, mesra, kelakar dan sangat ‘sempoi’ berbanding omputih yang lain. Malah, tak exaggerate jika saya katakan yang kemesraan diaorang lebih mirip perangai Asian berbanding European. Ini berbeza dengan ‘negara jiran’ mereka (British) yang umumnya lebih kasar dan sombong. Kebanyakan member Irish memang layan saya dengan baik dan ikhlas berkawan. Antara yang rapat dengan saya ialah Michael, Owen dan Stuart. Diaorang selalu bertanya khabar dan offer pertolongan kalau saya ada masalah. Selalu jugak saya menumpang kereta diaorang especially kalau hospital jauh dari tempat tinggal, malah ada jugak yang ajak saya study group di pub selepas waktu kelas (tentunya saya menolak invitation tu dengan baik 😅).

Mereka yang berasal dari USA pula biasanya nampak lebih matured dan mereka jenis yang hoo-ha skit berbanding omputih yang lain (malah kadang-kadang tu nampak macam ‘loyar buruk’ pon ada haha). Saya jarang bercakap dengan diaorang melainkan terkena group yang sama. Manakala mereka yang berasal dari Canada kebanyakannya jenis yang genius, serius dan sentiasa nampak smart. Biasanya masa tutorial kalau specialist tanya soalan-soalan yang susah, diaorang lah ‘penyelamat’ kitaorang kuikui. Saya pernah tanya kenapa diaorang datang ke Ireland untuk buat Medic sedangkan tempat diaorang dah ada universiti yang bagus-bagus. Rupa-rupanya universiti di Canada hanya bagi placement kepada super duper top student di sana (kerana tempat terhad dan tiada kekosongan), jadi diaorang yang tak dapat placement terpaksa cari tempat lain untuk belajar Medic. Wow, saya memang tak leh bayang betapa bijaknya student yang berjaya dapat placement Medic kat Canada tu, sebab yang tersingkir dan datang ke Ireland ni pon intelligent sangat semuanya..! 😲

Antara foreign students yang paling ramai di RCSI ialah mereka yang berasal dari Timur Tengah (sekitar 20%). Saya selalu je borak-borak dengan student dari negara Arab ni sama ada di kelas (atau di surau), dan hampir kesemuanya datang ke Ireland dengan biasiswa. Student Arab boleh dikatakan paling lavish berbanding student yang lain. Macam mana tak lavish, ‘duit makan’ yang diaorang dapat hampir €3,000 setiap bulan dan kalau tak dihabiskan duit tu, biasiswa diaorang akan dipotong untuk bulan-bulan yang seterusnya. Tambahan pula, kerajaan diaorang bagi elaun extra untuk mereka yang dah berkahwin dan ada anak. Namun dalam ramai-ramai student Arab tu, hanya beberapa orang je yang saya selesa nak ‘buat member‘, antaranya Abdullah dari Kuwait dan Ali dari UAE. Kedua-duanya sangat mesra, baik, hardworking dan warak (jika dibandingkan dengan kebanyakan student Arab yang lain).

Selain student Arab, saya juga berpeluang berkenalan dengan Saleem iaitu seorang Muslim student dari Mauritius. Menarik juga dengar cerita tentang orang Islam di Mauritius. Dia kata kat sana orang Islam minoriti dari segi jumlah penduduk, tetapi mereka dominant dari segi kekayaan dan kekuasaan. Jadi kebanyakan peraturan atau bisnes di Mauritius kena consider hukum syarak atau orang Islam takkan berurusan dengan mereka. Sebagai contoh, dia kata di Mauritius makanan halal dihidang di semua restoran (sekalipon restoran tu pemiliknya non-Muslim) dan daging atau ayam mentah yang dijual di semua kedai juga halal. Katanya sistem macam ni memang dah lama dipraktik oleh rakyat Mauritius. Wallahu A’lam.

Kebiasaannya, bila pergi ke masjid saya suka hang out dengan mereka yang berasal dari Asia Selatan (Pakistan/Bangladesh/India). Saya akan pergi ke rumah diaorang, makan sama-sama, dan sekali sekala saya akan join mereka jika ada aktiviti masjid di dalam atau luar Dublin. Saya akan dengar tentang kisah kehidupan, karier, sejarah dan pegangan diaorang, malah saya ada juga belajar sikit-sikit bahasa Urdu dan Bangla. Sebenarnya diaorang ni mesra dan baik hati jadi boleh la nak geng dengan orang Melayu. Saya tak rapat sangat dengan orang Arab atau Afrika di masjid. Diaorang baik-baik je semua cuma kebanyakannya jenis yang kasar sikit, tak kena dengan jiwa saya hehe..

Batchmate kitaorang datang dari seluruh pelosok dunia

Mengapa berkahwin ketika belajar..

Jika awak nak tahu, saya berkahwin ketika masih student iaitu selepas habis belajar Third Year. Umur saya masa tu? 22 tahun. Jika awak rasa saya ni menggatal, percayalah semua lelaki yang dah sampai umur tu memang menggatal sama ada dia mengaku ataupun tidak (kecuali lelaki yang ‘kurang normal’ lah).

Kehidupan di negara Eropah memang dikelilingi fitnah. Kat sini takde yang beradab nak tutup aurat (melainkan minoriti yang Muslimah). Jangan kata tutup, makin buka ada. Pernah sekali tu saya boring duk dalam bas sorang-sorang, kebetulan ternampak ada surat khabar kat kerusi sebelah. Jadi saya ambil la kan, boleh baca skejap sementara tunggu sampai rumah. Kononnya membaca nak tambah ilmu pengetahuan, saya khuatir dosa je yang bertambah. Kat sini, diaorang tayang wanita tak berpakaian dalam surat khabar macam benda tu hak asasi manusia. Takde censorship, takde harga diri.

Kali kedua saya terkena ialah masa naik train waktu malam sorang-sorang. Boring tak tau nak buat apa (masa tu saya guna phone biasa je, wasap/internet ni takde semua), jadi saya ambil la surat khabar kebetulan ada kat kerusi depan. Kali ni saya dah boleh teka isi kandungan dalam tu jadi saya terus flip ke bahagian sukan (biasanya bahagian paling belakang), boleh jugak baca berita sukan terkini sambil tunggu sampai destinasi. Rupa-rupanya muka depan bahagian sukan tu dia letak besar-besar gambar ‘parti liar’ yang dianjurkan salah seorang pemain bola Premier League di rumahnya. Aduhh, terkena lagi 💆‍♂️. Sejak hari tu saya malas dah nak membaca ‘surat khabar terbang’ dalam public transport ni.

Bukan itu sahaja, betapa biasanya perzinaan di negara Eropah hinggakan dalam toilet pon ada vending machine jual kondom. Malah siap ada pesanan penaja seperti ‘no glove, no love‘ dilekatkan di dinding toilet untuk menyampaikan ‘mesej kesihatan’ supaya tak berlakunya Sexually Transmitted Infection (STI) atau unplanned pregnancy. Tu dalam toilet, kalau berjalan dalam bandar tak yah citer lah ye, skejap-skejap mesti jumpa ‘kedai ero‘ yang pamer dan jual pelbagai jenis barang yang ‘memalukan’. Betapa runtuhnya peradaban manusia di sana.

“Oh, itu sebab diaorang bukan Islam. Orang Islam baik-baik semua kat sana, diaorang takkan buat gitu” – Jika anda berfikir macam ni, sebenarnya ada je orang Islam yang terpengaruh dengan suasana maksiat ni ye. Pernah saya berjumpa dengan seorang warga Pakistan yang kerja di kedai kebab yang tinggal sebumbung dengan bosnya (wanita dari Poland) di tingkat atas kedai tu. Dia sendiri mengaku berlaku sesuatu di antara mereka – dia tak mintak pon daripada wanita tu tapi kalau dah tinggal berduaan sebumbung, memang syaitan akan jadi pihak ketiga. “Well you know, she’s European“- bak kata mamat tu. Dalam erti kata lain, dia nak kata “kalau dah tinggal sebumbung dengan European woman memang biasa la kalau dia minta kita untuk puaskan nafsu dia”, dan apparently mamat tu pon gagal mengawal diri. Astaghfirullah.

Ok selepas panjang bercerita, saya harap awak faham kenapa saya membuat keputusan untuk kahwin awal. Bagi saya, ini lebih baik untuk menjaga kehormatan diri dan agama. Selamatkan iman ni lebih utama daripada segala-galanya dalam hidup. Lagipon masa tu saya dah ada calon dan dah ada savings yang cukup untuk berkahwin. Kalau takde savings tak payah citer la ye, simpan duit dulu dan banyakkan berpuasa. Huhu.

Teruskanlah perjuangan dengan sabar dan solat..

Sebelum saya fly, saya sentiasa membayangkan kehidupan sebagai pelajar di luar negara mesti sangat best. Ilmu baru, pengalaman baru, kenalan baru – semua nampak yang indah-indah je. Namun bila dah lama berada di sana, hati saya tak sabar-sabar nak habis belajar dan pulang ke negara sendiri. Memang betul orang kata: hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, (sekalipon begitu) tetap lebih baik di negeri sendiri.

Bila dah lama di Ireland baru saya perasan yang saya tak sesuai dengan kehidupan di sana. Cuaca yang sejuk sepanjang masa menyebabkan saya selalu kena bronchitis. Ini menyebabkan saya batuk berkahak tak henti-henti dan memang asyik duk meludah je. Nasib baik saya takde asthma, kalau ya saya rasa mesti kerap diserang penyakit lelah disebabkan cuaca sejuk ❄️.

Selain itu, saya juga dilanda chronic diarrhoea (cirit-birit berterusan) semasa di Ireland yang menyebabkan saya jadi selalu letih dan kurang bertenaga. Malah ia juga mengganggu kehidupan harian saya kerana perut sentiasa memulas dan jadi terkentut (kadang-kadang ‘terkicik’ pon ada huhu). Selepas 3 tahun baru saya tahu puncanya ialah kerana saya banyak minum susu segar (saya rasa saya ada lactose intolerence). Selepas saya berhenti minum susu baru lah okey sikit. Aduhh 3 tahun juga sengsara baru jumpa puncanya.. Itu belum cerita pasal susahnya nak ‘qada hajat’ di toilet yang lantainya takde saliran dan takde paip air untuk cebok. Kalau sakit perut tu memang penat la nak takung air dari singki sampai betul-betul bersih.

Malah saya juga susah nak biasakan diri dengan perubahan siang dan malam yang sangat ketara sepanjang tahun. Ketika musim winter, saya dapati susah nak jaga solat Zohor dan Asar (waktu solat ni jadi sangat pendek) kerana jadual kerja kitaorang memang sibuk masa ni. Pada musim panas pula, waktu malam yang sangat pendek menjejaskan kualiti tidur dan saya cenderung untuk kena sakit kepala. Bayangkan pukul 11.30PM baru nak solat isyak, mungkin pukul 12.30AM baru boleh tidur sekejap sebelum bangun balik pukul 3AM untuk solat Subuh (dan kemudian sambung tidur balik) sebelum bangun sekali lagi pukul 7AM untuk pergi kelas. Memang headache. Nampak macam remeh tapi selepas 5tahun melalui pengalaman tersebut, saya boleh kata dengan yakin yang saya prefer tinggal di Malaysia yang perubahan malam dan siangnya tak drastik macam tu..

No success without struggle.

“Tiada kejayaan tanpa perjuangan”. Bila diimbau kembali boleh tahan perit juga 5tahun belajar Medic. Memaksa diri untuk belajar subjek yang saya sudah hilang passion memang sangat rumit. Setiap kali buka buku Medic saya akan rasa nausea. Rasa macam takde drive dah nak teruskan bacaan, apatah lagi nak mendalami ilmu perubatan yang sangat kompleks. Namun saya teruskan jua. “I need to finish what I’ve already started” – fikir saya. Setiap kali masuk exam, saya memang takkan 100% ready. Banyak topik yang saya terpaksa skip (memang tak mampu dah nak hafal kesemuanya). Jika dapat cover 60%-70% dari keseluruhan silibus dikira sudah cukup bagus, ingat atau tak tu tawakkal je lah. Bila fikir-fikir balik, mungkin saya berjaya PASS semua exam tu pon disebabkan solat dan doa mak ayah yang tak putus-putus. Serta doa tawakkal yang saya ucapkan sebelum menjawab SETIAP SOALAN peperiksaan. Begitulah betapa mengharapnya saya kepada bantuan dari langit ketika itu.

  • Belajar Medic TAK se-mudah naik escalator sekalipon anda seorang pelajar yang bijak.

Mengembara dan melihat kebesaran ciptaan Tuhan..

Antara benda yang paling best bila belajar di luar negara ialah kita boleh lihat sendiri betapa hebat dan cantiknya ciptaan Allah. Saya masih ingat semasa Tingkatan 3 dulu antara subjek yang paling saya gemari ialah Geografi. Part yang paling best ialah bila belajar tentang perbezaan antara Malaysia dengan negara yang lain di dunia (dari segi bentuk muka bumi, cuaca, tumbuhan, populasi dan sebagainya). Paling syiok ialah jika kita boleh feel sendiri perbezaan ni, dan belajar di luar negara telah memberi peluang yang sangat besar untuk saya berbuat demikian 🙂

Sepanjang 5tahun belajar di Republic of Ireland, boleh saya katakan yang hampir kesemua 26 negeri di sini sudah saya jejaki. Biasanya saya travel semasa cuti semester yang panjang, namun ada juga tempat yang saya pergi pada hari weekend atau tempat yang saya pergi kerana di-attach ke hospital di sana. Antaranya attachment Psychiatry di St Luke’s Hospital (Kilkenny), Obstetrics, Gynae and Paediatrics di Regional Hospital Mullingar, Medical di Waterford Regional Hospital, Surgery di Lady of Lourdes Hospital (Drogheda), dan attachment Medical and Surgery di Galway Clinic.

Di Ireland ada banyak tempat yang sangat cantik. Antara pemandangan paling cantik yang tak boleh dilupakan ialah ketika saya pergi ke Dingle (Kerry), Cliff of Moher (Clare), Glendalough (Wicklow) dan Dungloe (Donegal). Biasanya, pemandangan on the way ke tempat-tempat ni lebih cantik dari destinasinya jadi saya memang TAKKAN tido dalam bas (atau kereta) melainkan travel waktu tengah malam la. Selain tempat-tempat ni, banyak juga bandar lain yang telah saya jejaki di Ireland seperti bandar Cork, Naas, Sligo, Letterkenny, Killarney, Limerick, Tralee, Monaghan, Bray, Ballyhaunis, Skerries, etc.

  • Galway: 30minit perjalanan dari B&B ke hospital.

Selepas tamat Final Exam, saya telah berpindah ke United Kingdom (UK) untuk tinggal bersama isteri saya. Masa tu dia dah PASS Final Exam cuma dia masih kena buat research paper untuk beberapa bulan. Jadual tutorial dia flexible jadi masa ni kitaorang banyak pegi travel sekeliling UK. Antara tempat yang kitaorang pergi ialah London, Bristol Bridge (Bristol), Glasgow, Loch Lomond, Fort William dan Glenfinnan (Scotland), Blackpool Pleasure Beach (Blackpool), Old Trafford (Manchester), dan Cheshire Oak Outlet (Cheshire). Jika bukan kerana masa tu dah nak masuk bulan Ramadhan dan isteri pon dah nak cukup bulan mengandung, tentunya kitaorang akan pegi jalan-jalan di banyak tempat yang lain. Anyway, time’s up. Dah sampai masanya untuk balik Malaysia for good..

  • Jom jalan-jalan UK pulak

Akhir kata..

Setiap pilihan yang kita buat dalam hidup ni mesti ada kebaikan dan keburukannya. Peluang belajar di luar negara telah membolehkan saya merasai kehidupan di negara lain. Keseronokan mengembara dan berkenalan dengan semua orang akan menjadi kenangan yang takkan dilupakan sepanjang hidup. Tentunya pengalaman tersebut mematangkan dan membentuk peribadi saya sebagai seorang manusia.

Namun bukan semuanya indah kerana hidup ini ialah satu ujian. Kita semua akan diuji dengan musibah yang akan memenatkan, merisaukan, serta menyedihkan jiwa dan raga kita sehingga menyebabkan kita jatuh berkali-kali. Jika kita bangun menghadapinya dengan berani maka kita akan berjaya. Namun jika kita biarkan musibah tu memijak kita sehingga lumat maka kita akan gagal.

Saya percaya setiap apa yang telah berlaku mesti ada hikmahnya walau tak tercapai oleh akal kita. Tentunya saya kecewa apabila minat dan passion terhadap ilmu perubatan ditarik keluar dari jiwa saya, itu memang tidak disangka-sangka. Kadang-kadang teringat masa zaman sekolah dulu, saya sangat teruja dengan kemajuan teknologi dalam perubatan (seperti angiogram, endovascular surgery, capsule endoscopy dan lain-lain) sehinggakan saya berazam sungguh-sungguh ingin research lebih banyak teknologi baru seperti ini bila dah jadi doktor nanti. Yes, I was that ambitious..

Ramai juga kenalan saya yang kecewa melihat saya tidak lagi mengejar kejayaan dalam dunia perubatan. Kerana mereka anggap otak saya ni bijak, tentunya saya boleh berjaya jika saya push sungguh-sungguh. Namun ini bukan masalah berkaitan otak, bahkan ia berkaitan dengan hati. Sampai bila saya nak paksa diri buat sesuatu yang saya dah tak minat. Bila bicara tentang hati, masalahnya ia bukan dalam kekuasaan kita. Bahkan ia dalam kekuasaan Allah.

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

“Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.”

Saya percaya mesti ada hikmah yang tersirat di sebalik hilangnya passion kepada ilmu perubatan dari hati saya, kerana ia berlaku atas ketentuan Yang Maha Mengetahui. Saya sendiri pon masih mencari apakah hikmah tersebut, semoga ia sesuatu yang bermanfaat untuk seluruh umat manusia InshaAllah.

Setiap orang mesti ada sejarah dan cerita kehidupan yang ingin di’abadi’kan. Begitu juga dengan saya. THIS is part of my story.. ✒️

Ikhlas dari sahabat emas anda,