Salam sejahtera semua,

Semoga kita sentiasa istiqamah dalam usaha untuk mencapai kejayaan. Seperti yang kita sedia maklum, kos pendidikan tinggi sangat mahal di mana saja kita berada. Selain yuran universiti dan kos buku, kita (sebagai mahasiswa) memerlukan duit untuk menyara kehidupan. Antaranya duit sewa, makan minum, transport, aktiviti luar dan sebagainya. Anak muda yang berjaya ke menara gading tiada sumber pendapatan sendiri, oleh itu seseorang perlu menampung kos pendidikan mereka dengan memberi biasiswa. Sama ada biasiswa kerajaan, korporat, FAMA (father mother) dan sebagainya.

Jika tiada biasiswa, maka terpaksalah kita ambil hutang pelajaran seperti PTPTN. Malangnya hutang ini akan membebankan hidup kita apabila mula bekerja kelak. Se-eloknya kita cuba selesaikan hutang ini secepat mungkin, paling bagus jika boleh settle terus sebaik tamat belajar. Ini memerlukan pengurusan kewangan yang baik ketika masih belajar, supaya duit yang berjaya disimpan boleh digunakan untuk bayar sebahagian (atau keseluruhan) hutang pelajaran kelak.

Hari ini terasa ingin berkongsi cara saya merancang kewangan ketika belajar Medic di Ireland dulu. Saya pernah kongsikan pengalaman tersebut dalam sharing sebelum ini, anda boleh membacanya di sini (link). Oleh kerana saya belajar oversea, tips yang saya kongsikan mungkin tidak sesuai untuk semua orang, namun saya pasti intipati ceritanya tetap bermanfaat. Oh ye, sebelum saya bercerita, jika anda mencari tip bisnes untuk student ia TIADA di sini kerana saya tak buat apa-apa bisnes semasa di universiti dulu 😅.


Tip 1: Buat anggaran hutang pelajaran SEBELUM menjejakkan kaki ke universiti

Saya ditawarkan biasiswa untuk sambung belajar Medic di Ireland melalui Skim Pelajar Cemerlang. Melalui perjanjian biasiswa ini, MARA akan bayar yuran pelajaran DAN menampung kos sara hidup saya di sana (iaitu dengan memberi duit poket sebanyak €935 setiap bulan sepanjang 5 tahun). Namun ada syaratnya, iaitu saya mesti bayar balik sebahagian duit biasiswa yang diberi selepas habis belajar (sama ada lulus dengan berjaya atau diberhentikan kerana gagal). Perjanjian itu lebih kurang macam ni:

  1. Jika berjaya habis belajar dalam masa 5tahun (maksudnya lulus SEMUA peperiksaan), saya perlu bayar 1% sahaja dari keseluruhan biasiswa (katakan RM1.5juta, maka saya hanya bayar RM15,000). Ok la tu.
  2. Jika gagal exam untuk SATU tahun, namun berjaya habis belajar dalam masa 6tahun (5tahun + 1tahun repeat year), maka saya perlu bayar 1% dari keseluruhan biasiswa 5tahun TAMBAH semua duit yang diberikan semasa repeat year 1tahun. Keseluruhan hutang pelajaran menjadi lebih kurang RM80,000.
  3. Jika gagal exam untuk DUA tahun (dikira fail), biasiswa akan dibatalkan serta-merta dan saya kena bayar balik 100% duit biasiswa yang MARA dah belanjakan untuk saya (termasuk yuran universiti). Keseluruhan hutang bergantung kepada tempoh masa di luar negara sebelum fail. Jika 2 tahun sahaja maka hutangnya sekitar RM200,000, jika lebih maka hutangnya mencapai sejuta ringgit.

Dipendekkan cerita, ketika itu saya menganggarkan hutang pelajaran yang bakal dipikul sekitar RM15,000 hingga >RM1,000,000 (bergantung kepada prestasi). Anda boleh bayangkan betapa bersungguhnya saya belajar (supaya tidak fail/repeat year) dan betapa berjimatnya saya dalam perbelanjaan ketika di luar negara kerana takutkan hutang sejuta ringgit itu..! 🥶 Memang seram, tetapi dengan menganggarkan jumlah hutang pelajaran sebelum bermula, ia secara langsung atau tidak langsung mempengaruhi tabiat berbelanja saya ketika student.

Kira jumlah student loan yang bakal ditanggung SEBELUM memulakan pembelajaran di universiti

Tip 2: Buat buku khas untuk jejak aliran tunai

Ini ialah benda pertama yang saya buat sebaik menerima duit biasiswa bulanan yang PERTAMA. Tujuannya ialah supaya saya boleh jejak setiap ringgit (atau lebih tepat, setiap euro) yang masuk dan keluar dari akaun bank, malah setiap sen yang keluar dari poket pon saya catat..! Mengapa susah-susah buat begini? bukannya duit biasiswa makin bertambah pon kalau kita tulis dalam buku. Sebenarnya, matlamat sekarang bukan nak tengok income (duit biasiswa) tetapi nak tengok expenses (duit yang keluar).

Pada awalnya saya sangat meticulous, saya akan catat harga setiap barang yang dibeli – harga biskut berapa, susu berapa, telur berapa, harga pen berapa, kertas kosong berapa, lampu meja berapa, baju berapa dan sebagainya. Ini membolehkan saya buat perbandingan harga dan kualiti apabila membeli barang di kedai yang berbeza. Maklumlah masa baru sampai di Ireland tu saya jakun lagi, tak tau kedai mana yang harganya berpatutan. Namun selepas setahun, saya dah tau di mana nak beli setiap jenis barang yang kualitinya OK pada harga yang paling murah. Jadi sekarang saya akan catat perbelanjaan saya by category (contoh: barangan runcit, alat tulis, pakaian, travel, dsb) untuk menjimatkan masa.

Jujurnya amalan menjejak aliran tunai ni sampai sekarang saya masih praktik kerana ini membantu saya bermuhasabah setiap bulan kot-kot ada terlebih belanja di mana-mana tempat. Jika ia berlaku, maka saya akan take note dan lebih berhati-hati apabila berbelanja di situ untuk bulan-bulan yang seterusnya.

Ini buku Cashflow saya ketika di Ireland. Tabiat mencatat aliran tunai masih saya amalkan sehingga kini.

Tip 3: Kira ‘discretionary income

Jika kita jejak aliran tunai bulanan rapat-rapat, kita boleh estimate berapa banyak duit lebih yang kita ada setiap bulan. Ini boleh dikira dengan mudah, iaitu dengan menolak jumlah ‘perbelanjaan wajib’ daripada duit yang masuk setiap bulan. Sebagai contoh, dalam kes saya, apabila duit biasiswa sebanyak €935 masuk, saya akan terus tolak duit sewa (sekitar €350), duit bil elektrik/gas/internet (sekitar €200), dan duit makan untuk sebulan (sekitar €100) menjadikan jumlah duit yang masih tinggal ada sebanyak €285. Inilah discretionary income saya (Nota: masa tu saya tak tau pon ia dipanggil begitu 🤭).

Duit lebih ini lah yang kita gunakan untuk travel atau beli benda best ikut kemahuan hati. Duit ini juga berpotensi untuk jadi duit simpanan kita. Saya guna perkataan ‘potensi’ kerana ada orang berjaya simpan 90% / 70% / 50% / 20% / 10% (atau 0% pon ada 😅) daripada discretionary income mereka setiap bulan. Saya sendiri cuba simpan paling kurang 50% – 70% supaya duit tersebut boleh digunakan untuk bayar balik hutang MARA bila dah habis belajar nanti. Sebenarnya ini memerlukan disiplin yang sangat tinggi, maklumlah bila tengok ada banyak duit dalam bank, kita cenderung nak berbelanja lebih dari sepatutnya. Sebagai mahasiswa yang bertanggungjawab, kita kena beringat yang duit tersebut kita reserve untuk bayar hutang, bukannya untuk bermewah atau berjoli demi keseronokan sementara semata-mata.

Tip 4: Kurangkan perbelanjaan, lebihkan simpanan

Bila dah ada gambaran asas struktur aliran tunai bulanan, sekarang tiba masanya untuk kita tweak kewangan kita supaya kita boleh maksimumkan simpanan. Oleh kerana saya tiada sumber pendapatan lain ketika student (maksudnya paling banyak duit masuk ialah €935 sebulan), satu-satunya cara untuk saya tingkatkan simpanan ialah dengan memotong perbelanjaan. Saya ada senaraikan beberapa cara yang telah saya buat seperti di bawah:

Kurangkan kos penginapan: Bilik tempat saya menyewa di Dublin boleh dikatakan antara yang paling berpatutan iaitu €350 je sebulan. Memang rezeki saya jugak la sebab kawasan perumahan tu bagus, dekat dengan masjid dan berdekatan jalan besar. Jike menyewa rumah yang lebih jauh ke dalam mungkin lebih murah, tapi banyak hooligans pula nanti. Untuk menjimatkan bil gas, kami pasang central heater untuk beberapa jam sahaja. Kalau lambat bangun pagi atau balik rumah lewat malam jawabnya mandi air sejuk je lahh. Di Ireland bila saya kata air tu sejuk, maksudnya bukan sejuk sikit-sikit, sejuknya macam aisss 😖

Kurangkan kos pengangkutan: Ketika di Dublin, berjalan kaki atau naik basikal ke mana-mana adalah perkara biasa. Saya sendiri memilih untuk berjalan kaki jika pergi ke kolej dan bandar (jarak 3-5km), ATAU naik basikal jika pergi ke hospital yang jaraknya lebih jauh (10-13km). Saya hanya naik Dublin Bus pada hari-hari tertentu sahaja, seperti ketika musim sejuk (jika jalan raya dilitupi salji) atau jika saya perlu membawa beg/barang yang bulky. Saya juga menggunakan public transport (atau car-pooling dengan member yang ada kereta) jika pergi ke luar bandar. Apabila dibuat kira-kira, saya berjaya simpan duit extra paling kurang €1,300 melalui penjimatan kos pengangkutan sepanjang 5tahun berada di Ireland..! 🤩

Kurangkan makan di luar: Kos makan di restoran atau take-away halal mencecah €5€15 setiap sajian. Bandingkan harga ni dengan kos masak sendiri iaitu sekitar €1€3 je setiap sajian. Jadi memang no-brainer untuk saya masak sendiri kat rumah. Saya makan di luar beberapa kali je dalam setahun, boleh kira dengan jari. Selebihnya masak sendiri, biasanya hanya makan nasi goreng pecah telur sebijik dan tambah ikan bilis sikit. Takpe lah ikat perut dulu beberapa tahun, nanti duit lebih tu boleh bayar hutang pelajaran huhu..

Kurangkan kos bayar telefon/telco: Ketika saya masuk tahun ke-2 di Ireland, ramai member mula tukar telefon. Masa tu pasaran smartphone baru nak hot, produk seperti Iphone 4 dan Samsung Galaxy baru dilancarkan. Ramai yang melanggan contract dengan telco untuk beli Iphone. Komitmen tak sampai €100 sebulan selama 2 tahun dengan zero upfront cost. Kadang-kadang teringin juga nak upgrade tapi phone yang saya guna masa tu baru berumur 2tahun dan masih berfungsi dengan baik, saya fikir-fikir takpe la saya guna phone ni je dulu.. Bila ditambah keseluruhan kos topup telco sepanjang tahun, saya hanya bayar sekitar €100 SETAHUN dan itu pon supaya nombor kekal aktif (nombor pre-paid). Bandingkan kos ini dengan mereka yang sudah upgrade phone dan terpaksa menanggung kos telco sehingga 6x ganda dari asal. Banyak jugak saya jimat di sini 🤭.

Sony Ericsson W980i ni dibeli pada harga RM800. Saya menggunakannya sepanjang 5 tahun di universiti, lepas graduasi baru saya upgrade ke smartphone

Kurangkan online-shopping: Online shopping memang bagus kerana shopping dari rumah menjimatkan masa dan wang. Kalau cari di kedai fizikal belum tentu jumpa barang yang kita mahu, dan kalau jumpa pon harganya mesti lebih mahal. Masalah timbul bila kita jadi rambang mata melihat macam-macam produk yang menggiurkan. Akhirnya kita cenderung untuk berbelanja lebih dari sepatutnya. Saya sendiri hanya beberapa kali je beli barang secara online semasa student, boleh kira dengan jari. Masa tu saya terpaksa pinjam kad kredit kawan untuk buat online payment jadi memang tak convenient la untuk saya shopping online. Saya memang tak suka sangat guna kad bank kecuali untuk keluarkan duit di ATM. Kad kredit tak yah citer, memang saya tak langgan. Bukan apa, tendency untuk berbelanja lebih dari sepatutnya memang tinggi bila guna kad berbanding cold, hard cash..

Elakkan membeli sesuatu yang harganya ribu-riban: Ok yang ni memang suatu perkara yang trending untuk kitaorang yang belajar di luar negara iaitu setiap orang mesti ada something special yang kitaorang sanggup perhabis duit untuk memilikinya. Sebagai contoh, ada yang habis ribuan ringgit (atau ribuan euros..!) untuk membeli kamera DSLR, atau high-end custom-made PC (atau iMac), atau kereta mewah BMW/Porsche (boleh bawa balik Malaysia guna AP), atau berbelanja pergi tour seluruh benua Eropah. Malah ada juga yang sanggup perhabis duit untuk beli siri-siri komik yang banyak macam perpustakaan (premium printing quality ye, bukan macam komik Malaysia yang guna kertas murah tu). Jika awak rasa saya yang cheapskate ni mesti takde perhabis duit untuk beli barang-barang extravagant, anda memang betul 😋. Tapi saya ada juga berbelanja ribu-riban ketika student iaitu untuk…


Berkahwin semasa belajar

Jika awak nak tahu, saya berkahwin ketika student iaitu selepas tamat tahun ke-3. Umur saya masa tu 22 tahun. Bagaimana saya mampu nak bayar kos perkahwinan ketika student? Jawapannya: Saya ada duit dalam Tabung Haji yang disimpan sikit-sikit sejak sekolah rendah. Semua duit raya, duit hadiah prestasi cemerlang, dan lebihan duit belanja sekolah saya disimpan di situ. Memang benar kata pepatah ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’, siapa sangka duit tersebut sudah cukup untuk meminang anak dara orang…! 😂

Sebenarnya, kos perkahwinan semasa student tak setinggi mereka yang sudah bekerja. Dah nama pon pelajar, takkan la nak buat majlis grand-grand tak gitu? Jujurnya saya hanya belanja sekitar RM18,000 untuk mahar dan hantaran, (RM15,000 duit saya + RM3,000 parents saya sponsor). Manakala perbelanjaan majlis kahwin dan makan-makan sekitar RM10,000. Oleh kerana majlis dibuat di rumah pengantin perempuan, bapa mertua saya keluarkan duitnya dulu untuk cover cost majlis. Isteri saya kemudiannya pelan-pelan bayar balik duit tersebut sepanjang 2-3tahun (mostly guna duit hantaran yang telah saya berikan).

Bagaimana nak menyara kehidupan selepas berkahwin? Oleh kerana saya DAN isteri kedua-duanya pelajar tajaan MARA, kitaorang ada income (a.k.a biasiswa) masing-masing. So kewangan saya tak semput pon selepas kahwin sebenarnya. Namun begitu, oleh kerana saya PJJ (perhubungan jarak jauh) dengan isteri ketika itu, banyak duit dihabiskan untuk travelling. Isteri di England manakala saya di Ireland. Untuk sampai ke tempatnya, saya kena naik bas, kemudian kapal terbang, kemudian keretapi dan akhirnya teksi. Disebabkan komitmen belajar, saya hanya pergi ke sana satu atau dua kali sebulan. Walaupun tak kerap, namun keseluruhan travelling cost pergi-balik England sepanjang 2 tahun tersebut mencapai RM15,000..!

Selalu orang tanya saya, selepas berkahwin kewangan jadi makin lapang atau semput? Sebenarnya, makin susah atau senang tu bergantung kepada beberapa faktor seperti status kewangan pasangan dan setakat mana suami isteri boleh bekerjasama bab-bab pengurusan duit. Pasangan baru berkahwin ibarat double the income with the same amount of expenses. Maksudnya sumber pendapatan bertambah (duit suami + duit isteri) dengan jumlah perbelanjaan yang lebih kurang sama (kongsi makanan, sewa rumah yang sama, bayar bil yang sama, etc). Jadi tak mustahil pon jika kewangan jadi makin baik selepas nikah.

Bagi saya, kelebihan berkahwin semasa student (dari segi kewangan) lebih kepada penjimatan kos majlis perkahwinan tu sendiri. Maklum-lah kos nak kahwin sekarang bukan calang-calang, boleh cecah RM40,000 keseluruhannya. Namun saya dan isteri hanya berbelanja total RM15,000 sahaja. Tentunya majlis kami sangat bersederhana namun ini tidak mengundang apa-apa sindiran atau pandangan negatif dari orang ramai. Ye la, takkan diaorang expect student nak belanja RM40,000 untuk kahwin kott 😅.

Elok la berkahwin ketika student jika mampu

Penutup

Kehidupan SELEPAS tamat universiti jauh lebih mencabar berbanding kehidupan semasa student especially dari aspek kewangan. Ketika student kita masih di bawah tanggungan ibu bapa, namun selepas bergelar graduan takkan kita masih berharap kepada elaun FAMA untuk terus hidup? Tentunya kita inginkan kehidupan yang lebih bebas, berdikari serta boleh berdiri di atas kaki sendiri. Namun terasa gaji yang diraih menjadi ‘semput’ selepas ditolak bayaran hutang pelajaran.

Tak dinafikan student loan amat membebankan graduan muda, ditambah lagi dengan kos sara hidup yang semakin lama semakin menaik dan tak turun-turun. Untuk menjadikan kehidupan pada masa hadapan less stressful, mahasiswa kena target untuk settle hutang pelajaran SEBELUM mula bekerja. Ini memerlukan disiplin kawalan perbelanjaan yang sangat ketat ketika student seperti contoh yang telah saya huraikan di atas.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Walaupun terpaksa mengikat perut dan berjimat-cermat ketika student, saya sangat bersyukur kerana kehidupan selepas tamat belajar terasa lebih lapang. Sebaik pulang dari Ireland, saya telah pergi ke pejabat MARA untuk check jumlah hutang pelajaran SAYA DAN ISTERI. Jumlah keseluruhan hutang kami berdua ialah sebanyak ~RM30,000 dan saya telah bayar kesemuanya menggunakan duit biasiswa yang telah berjaya disimpan. Maka saya dan isteri sudah officially BEBAS dari belenggu hutang pelajaran, Alhamdulillah.. 🙂

Ikhlas dari sahabat emas anda,