Salam sejahtera,
Syukur ke hadrat Allah atas segala nikmat yang telah diberikan kepada kita dari dulu hingga sekarang. Harini saya nak share sinopsis satu buku yang sangat special iaitu Cashflow Quadrant. Buku ini ditulis oleh Robert T Kiyosaki dan ia berkisar tentang 4 kategori sumber pendapatan iaitu Employed, Self Employed, Business Owner dan Investor.
Saya first time dengar tentang Cashflow Quadrant pada tahun 2014 iaitu selepas graduation. Apa yang saya dengar telah mengubah kefahaman saya tentang pendapatan dan pekerjaan selama-lamanya. Saya harap perkongsian kali ini akan menarik minat awak untuk membeli dan membaca buku ini.
Intro
Setiap pekerjaan yang ‘menghasilkan duit’ (CASHFLOW) boleh dibahagikan kepada 4 kategori sumber pendapatan (QUADRANT). Mari kita tengok ciri-ciri setiap satunya:
- Bekerja (untuk majikan) – EMPLOYED
- Bekerja Sendiri – SELF-EMPLOYED
- Memiliki Bisnes Bersistem – BUSINESS OWNER
- Melabur – INVESTOR
1. Bekerja (Employed)
🔨 Definisi: ANDA BEKERJA UNTUK MAJIKAN
– Anda bekerja dengan syarikat swasta atau kerajaan. Anda ada tugas dan waktu kerja yang spesifik. Di akhir bulan, anda akan diberikan sejumlah gaji yang telah ditetapkan. Senang citer, anda kerja makan gaji.
– Contoh: doktor yang bekerja di hospital kerajaan, cikgu mengajar di sekolah kebangsaan, tukang masak bekerja di restoran yang dimiliki orang lain, etc.
🚩 Flexibility: TAK FLEXIBLE
– Anda kena kerja ikut peraturan, protokol dan SOP (Standard Operating Procedure) sebagaimana yang telah ditetapkan oleh majikan.
– Anda TAK BOLEH nak memandai buat kerja ikut cara sendiri. Anda TAK BOLEH nak settle hal peribadi waktu sedang bekerja. Anda TAK BOLEH nak sesuka hati berehat/tidur selain daripada waktu rehat. Jumlah cuti atau hari off anda juga terhad dan tertakluk kepada kebenaran boss.
🔒 Pendapatan: TETAP
– Anda seorang pekerja yang sangat dedikasi? Kawan sebelah anda kerja sambil lewa? Tiada bezanya. Anda berdua tetap akan mendapat sejumlah gaji yang sama. Biasanya mereka yang kerja kerajaan memang ada masalah gini, yang kerja swasta mungkin ada insentif lain yang syarikat berikan untuk pekerja dedikasi (contoh: komisyen jualan).
📍 Risiko: RENDAH
– Asalkan anda habiskan kerja setiap hari, tiada sebab majikan nak pecat anda. Asalkan anda tak dipecat, gaji akan masuk di akhir bulan. Inilah sebabnya kebanyakan orang selesa bekerja untuk majikan (comfort zone).
– Namun, ada orang argue yang kategori EMPLOYED sebenarnya yang paling berisiko. Ini kerana kita tiada kuasa nak control bos jika tetiba dia nak pecat kita (sama ada bersebab atau tidak). Pendapat ini juga betul. Sebagai contoh ketika pandemik COVID-19 baru-baru ini, ramai orang telah (secara terpaksa) diberhentikan kerja di seluruh dunia.
😵 Level stress: TINGGI
– Dah namanya pon kerja dengan orang, memang tahap stress lebih tinggi la. Ada je masalah: bos tak best, rakan sekerja tak membantu, gaji tak cukup, kerja banyak sangat, kena marah, dan sebagainya. Yang paling tak best ialah kita perlu hadap semua tu setiap hari macam never ending..
🏆 Tahap kepuasan bekerja: BERBEZA-BEZA
– Kalau seseorang itu dapat kerja yang memang passion dia, bos pula sporting, ada flexibility nak settle hal peribadi jika terpaksa, gaji ok dan dapat bonus yang banyak pula, dah tentu dia sanggup bekerja untuk majikan dia sepanjang hidup, tak gitu?
– Jika sebaliknya, memang kena ‘paksa diri’ pergi kerja. Kerja pon takde motivasi dan takde kualiti. Kadang-kadang rasa nak quit tapi takut sebab komitmen kewangan banyak (dah terperangkap dalam rat race 🐀).
EMPLOYED:
Seorang yang BEKERJA UNTUK MAJIKAN,
kena sanggup korbankan MASA dan KEBEBASAN,
untuk mendapatkan PENDAPATAN TETAP dan ‘COMFORT ZONE’..
2. Bekerja Sendiri (Self-Employed)
💼 Definisi: ANDA BEKERJA SENDIRI
– Jika anda jenis yang tak suka dikongkong, mungkin anda lebih gemar bekerja sendiri. Anda masih perlu bekerja, cuma anda tak perlu lagi mengikut arahan atau peraturan sesiapa. Anda lah bos dan anda lah pekerja. Tiada sesiapa dapat menghalang anda dari buat apa yang anda mahu.
– Contoh: doktor yang kerja di klinik sendiri, cikgu yang mengajar di pusat tuisyen sendiri, penjual burger yang buka kedai sendiri di tepi jalan.
– Biasanya, jenis kerjaya dipilih mengikut kemahiran atau passion/minat sendiri.
🚩 Flexibility: FLEXIBLE
– Bila bekerja sendiri, anda boleh pilih: nak buat kerja apa, bila nak kerja, nak guna cara apa untuk selesaikan kerja, dan sebagainya. Malah, cuti dan hari off pon anda yang tentukan sendiri.
– Namun, anda masih terikat dengan ‘keperluan untuk bekerja’. Maksudnya, jika buat kerja anda dapat duit. Jika tidak maka anda tak dapat duit hari tu kerana TIADA ORANG LAIN yang dapat ganti tempat anda.
🔓 Pendapatan: TAK TETAP
– Jumlah pendapatan bergantung kepada performance anda. Dalam bahasa mudah jika anda kerja bagus, maka anda akan dapat banyak customer dan banyak la dapat duit. Sebaliknya jika kerja anda tak bagus, maka customer tak ramai dan pendapatan pon sikit.
– Sekalipon performance anda sangat bagus dan ramai customer beratur untuk mendapatkan produk atau perkhidmatan anda, jumlah pendapatan anda masih terhad kepada berapa banyak MASA yang anda boleh luangkan untuk bekerja. Yelah, takkan nak kerja 24jam setiap hari kan?
📍 Risiko: TINGGI
– Pendapatan anda tak tetap dan tiada jaminan. Ada hari dapat banyak, ada hari dapat sikit, ada hari tak dapat langsung. Sedangkan anda masih perlukan sejumlah duit yang tetap untuk perbelanjaan bulanan.
– Jika berlaku kecemasan, boleh flat terus kewangan anda. Contoh: jika anda sakit dan tak dapat bekerja, maka anda tiada pendapatan langsung untuk hari yang terlantar. Tiada istilah MC (cuti sakit) atau cari orang lain ganti untuk mereka yang kerja sendiri. Huhu
😬 Level stress: SEDERHANA
– Kerja harian jadi kurang stress bila anda sendiri jadi boss. Takde sesiapa akan ganggu atau paksa anda buat kerja yang anda tak mahu. Oleh kerana anda tidak dikongkong protokol/SOP, anda boleh jadi lebih kreatif, dan boleh gunakan cara shortcut untuk memudahkan kerja yang rumit supaya boleh ‘balik awal’. Anda boleh gilap sepenuhnya potensi dalam diri.
– Walaupun begitu, anda akan jadi sangat stress sekiranya pendapatan anda tak lepas nak tanggung perbelanjaan keperluan asas. Ini mungkin berlaku sekiranya anda tiada customer atau terpaksa bercuti panjang.
🏆 Tahap kepuasan bekerja: OKAY
– Biasanya orang yang SELF-EMPLOYED lebih tenang kerana jadual kerja mereka lebih fleksibel dan tahap stress lebih rendah berbanding mereka yang EMPLOYED. Malah, orang yang kerja sendiri berpeluang mendapat pendapatan yang lebih tinggi berbanding orang yang makan gaji.
– Cuma bila kerja sendiri ni anda kena pastikan kesihatan fizikal dan mental sentiasa tip top supaya boleh terus bekerja dan terus menjana pendapatan – jangan lupa, jika sakit tiada siapa yang boleh gantikan tempat anda. Sekiranya anda memanfaatkan sepenuhnya pengalaman kerja sendiri, anda berpeluang menjadi BUSINESS OWNER pada masa hadapan, iaitu dengan merangka sistem bisnes yang menjana pendapatan secara PASIF.
SELF-EMPLOYED:
Seorang yang BEKERJA SENDIRI,
kena sanggup korbankan JAMINAN GAJI YANG TETAP dan ‘COMFORT ZONE’,
untuk mendapatkan FLEKSIBILITI dan KEBEBASAN…
Walaupun masih perlu korbankan MASA dan KOMITMEN untuk kerja,
namun potensi PENDAPATAN LEBIH TINGGI seiring dengan usahanya..
3. Memiliki Bisnes (Business Owner)
⚙️ Definisi: ANDA MEMILIKI BISNES YANG BERSISTEM. ORANG LAIN BEKERJA UNTUK ANDA
– Anda ialah seorang usahawan, dan anda berjaya membina satu BISNES yang menjana pendapatan secara konsisten. Lalu anda pon merangka satu SISTEM yang membolehkan bisnes itu berjalan TANPA perlu anda hadir secara fizikal.
– Sekarang, anda hanya perlu menggaji orang lain untuk menggerakkan SISTEM tadi. Ini membolehkan BISNES anda berjalan dan menjana pendapatan untuk anda. Kerja anda sekarang? Hanya perlu memastikan bisnes dan sistem tadi berjalan lancar supaya anda boleh ‘ambil gaji’ setiap bulan. Itu sahaja.
– Ini dikira pendapatan PASIF, ia berbeza dengan SELF-EMPLOYED yang merupakan pendapatan AKTIF.
– Contoh: pemilik rangkaian klinik swasta yang menggaji doktor lain untuk kerja di kliniknya, pemilik pusat tuisyen yang menggaji cikgu lain untuk mengajar di pusat tuisyennya, pemilik rangkaian gerai ‘burger bakar’ yang menggaji tukang masak lain untuk menjual di kedainya, etc
🚩 Flexibility: UNLIMITED
– Dah namanya pon pendapatan pasif, anda TAK PERLU berada di tempat kerja setiap masa. Jangan risau, bisnes anda tetap berjalan kerana ada orang lain (yang dibayar gajinya) yang akan settlekan kerja-kerja bisnes tu untuk anda.
– Kalau tak pergi kerja, nak buat apa? Jawapannya: suka hati anda la. Nak pergi travel atau layan hobi lain? Boleh. Nak join aktiviti sekolah anak? Boleh. Tetiba rasa nak balik kampung melawat mak ayah? Tiada masalah. Rasa bosan dan nak masuk kerja macam biasa? Silakan.
– Tujuan pendapatan pasif ialah supaya kita ada pilihan dalam hidup. Tak nak kerja? Tiada masalah. Nak teruskan kerja? Silakan. Memang sangat fleksibel.
🔓 Pendapatan: TIADA HAD
– Kelebihan menjadi Business Owner ialah anda boleh kembangkan lagi bisnes anda. Pendapatan dari satu kedai tak cukup? Buka kedai kedua. Jika masih tak cukup? Buka yang ketiga. Jangan risau, anda tak perlu ‘belah’ badan anda jadi tiga 🤭. Anda hanya perlu copy paste SISTEM sebelum ini dan ambil lebih ramai pekerja untuk menguruskan kedai kedua dan ketiga tadi.
– Jika anda perasan, manusia paling kaya di dunia hampir kesemuanya termasuk dalam golongan Business Owner atau ‘pencipta SISTEM’ ini. Contohnya: Bill Gates (sistem: MICROSOFT), Jeff Bezos (sistem: AMAZON), Elon Musk (sistem: TESLA), Mark Zuckerberg (sistem: META/FACEBOOK), etc.
📍 Risiko: SEDERHANA
– Dah namanya pon bisnes, mesti la ada risiko kerugian. Namun, jika anda kawal risiko itu dengan baik, sistem bisnes tetap berjalan lancar dan anda boleh terus-menerus mengambil ‘gaji bulanan’ dan dividend keuntungan tanpa sebarang masalah.
– Walaupun anda sakit atau tak dapat bekerja, sumber pendapatan anda tetap berjalan (ini berbeza dengan golongan SELF-EMPLOYED).
😊 Level stress: TINGGI PADA AWALNYA, SELEPAS TU OKAY
– Peringkat paling stress ialah pada awalnya kerana pada masa itu anda baru nak setup SISTEM bisnes anda tadi. Sudah tentu ianya susah, pelbagai ‘eksperimen’ dibuat masa ni, ada yang menjadi dan ada yang gagal. Biasanya, kebanyakan orang akan ‘jatuh’ banyak kali sebelum berjaya jumpa sistem yang betul-betul sesuai dan dapat digunakan.
– Namun selepas anda berjaya jumpa sistem yang menjadi, stress anda tu bagai vanish begitu sahaja hehe. Gurau je, realitinya kadang-kadang anda akan jadi stress jugak jika ada cabaran atau faktor luaran yang boleh menggugat sistem bisnes yang anda dah establish tadi.
🏆 Tahap kepuasan: SANGAT TINGGI
– Sudah tentu anda akan berasa sangat puas jika berjaya setup SISTEM yang menjana pendapatan pasif. Anda akan rasa seperti semua penat lelah, suka duka sebelum ni sangat-sangat berbaloi.
– Bukan apa, lepas ni anda memang dah tak perlu kerja teruk-teruk lagi dah. Anda boleh beri lebih banyak masa dan komitmen untuk buat aktiviti yang disukai, serta perkara yang lebih bermakna dalam hidup seperti masa bersama keluarga. Bak kata orang yang kerja gomen: ‘pencen awal’.
– Paling best, anda boleh capai tahap bebas kewangan ketika umur masih MUDA. Bandingkan situasi ni dengan situasi orang makan gaji yang terpaksa hadap stress kerja terus-menerus dari zaman 20-an sampai umur dah dekat nak masuk kubur pon kena hadap stress kerja lagi, Huhu 😭
BUSINESS OWNER:
Seorang yang MEMILIKI BISNES BERSISTEM,
menggaji ORANG LAIN supaya bekerja untuknya,
seterusnya menjana PENDAPATAN PASIF untuknya.
Pemilik bisnes bukan sahaja sangat FLEKSIBEL,
Malah dia juga BEBAS, boleh beri MASA dan KOMITMEN,
untuk apa sahaja yang BERMAKNA dalam hidupnya.
4. Melabur (Investor)
💵 Definisi: WANG ANDA ‘BEKERJA’ DAN MENJANA PENDAPATAN UNTUK ANDA
– Anda guna duit yang ada sekarang sebagai modal untuk membeli ASET berharga seperti hartanah, unit saham, pemilikan dalam syarikat persendirian, komoditi, aset bisnes dan sebagainya.
– Aset yang dibeli tadi berpotensi untuk menghasilkan PENDAPATAN secara pasif. Contoh:
1. Jika anda membeli ASET dalam bentuk rumah atau sebarang hartanah, anda boleh sewakannya. Atau anda juga boleh menjual balik rumah tersebut selepas beberapa tahun (apabila harganya telah naik).
2. Jika anda membeli ASET dalam bentuk unit saham (dalam sesuatu dana awam, listed company atau koperasi contohnya), anda berpeluang mendapat dividend daripadanya. Malah anda juga berpeluang menjual unit saham tersebut apabila harganya telah naik untuk mendapatkan keuntungan.
3. Jika anda membeli ASET dalam bentuk share/pemilikan dalam syarikat persendirian, anda layak untuk mendapat sebahagian keuntungan syarikat tersebut dalam bentuk dividend walaupun anda hanyalah seorang sleeping partner.
4. Jika anda membeli ASET dalam bentuk komoditi seperti emas dan perak, anda boleh menjualnya pada masa hadapan untuk menikmati keuntungan daripada kenaikan harganya.
– Dalam setiap situasi di atas, ASET yang dimiliki telah ‘menghasilkan duit’ untuk anda secara PASIF tanpa perlu bersusah payah.
🚩 Flexibility: PART TIME, SOMETIMES FULL TIME
– Semua orang boleh melabur tak kira apa pon status pekerjaan mereka sekarang. Berbeza dengan sumber pendapatan lain yang telah saya terangkan sebelum ini, biasanya mereka yang melabur buat secara PART TIME sahaja (mereka ada kerja hakiki/bisnes sendiri yang lain).
– Sebab itulah kadang-kadang kita terjumpa mereka yang nampak kerja biasa-biasa je, namun sebenarnya orang senang. Rupa-rupanya mereka adalah PART TIME INVESTOR yang sentiasa meraih pendapatan pasif melalui aktiviti pelaburan.
– Antara yang pernah saya jumpa ialah cikgu yang memiliki (dan menikmati hasil) ladang durian dan kelapa sawit, kerani yang menyewakan gerai dan kelengkapan bisnes kepada peniaga lain, pekerja kilang yang menggabungkan modal mereka untuk membangunkan suatu projek hartanah, pembantu kesihatan yang menyewakan kereta/van, jurutera yang berkongsi modal (dan keuntungan) dalam bisnes kedai runcit, peniaga baja yang membeli share dalam bisnes klinik orang lain, dan sebagainya.
– Memang benar kadang-kadang kita terjumpa mereka yang melabur secara FULL TIME namun memang rare lah. Contoh full-time investor yang terkemuka di dunia ialah Warren Buffet (Berkshire Hathaway). Contoh pelabur full-time yang saya sendiri pernah jumpa ialah orang yang memiliki banyak rumah sewa (kerja kutip duit sewa je), dan orang yang aktif melabur di pasaran saham (trader).
🔓 Pendapatan: TIADA HAD
– Jika anda rajin mencari peluang pelaburan yang strategik, anda boleh untung berkali-kali ganda modal yang diperuntukkan di peringkat awal (dalam bahasa pelaburan: Return On Investment atau ROI).
📍 Risiko: ADA YANG TINGGI, ADA YANG RENDAH
– Ada banyak cara nak melabur, dan setiap satu ada risikonya. Kebiasaannya, pelaburan yang berisiko RENDAH menjana keuntungan yang RENDAH. Jika kita mahukan keuntungan yang lebih TINGGI, kita harus bersedia untuk mengambil risiko yang lebih TINGGI.
– Jika anda jenis yang ambil loan untuk melabur, maka risikonya lebih TINGGI. Bukan apa, komitmen bayar loan (dan caj bunga) itu sudah PASTI, sedangkan keuntungan dari pelaburan itu BELUM PASTI. Aktiviti berhutang untuk melabur ini dipanggil leverage atau Other People’s Money (pelaburan tanpa menggunakan duit sendiri).
– Dalam banyak-banyak pelaburan, agak-agak yang manakah yang kita perlu REJECT TERUS tanpa banyak soal? Jawapannya ialah pelaburan yang kononnya dengan risiko yang rendah kita boleh mendapatkan keuntungan yang sangat tinggi. Sangat tak logik, ini ialah skim cepat lingkup yang cuba tipu kita dengan janji manis yang tak masuk akal, maka berhati-hatilah.
🤔 Level stress: ANDA SEDANG UNTUNG ATAU RUGI?
– Pelaburan anda sedang untung? tentunya anda akan rasa HAPPY. Sebaliknya jika pelaburan anda sedang rugi? tentunya anda akan rasa STRESS. Sekiranya anda guna duit loan untuk melabur, rasa stress tersebut berlipat kali ganda lebih dahsyat berbanding mereka yang melabur dengan duit sendiri.
– Sebelum mula melabur, anda MESTI BELAJAR ILMU PELABURAN dulu. Anda perlu kenal pasti jenis pelaburan yang sah, potensi keuntungannya, bagaimana nak kawal risikonya, apa entry dan exit plan, apa nak buat jika posisi sedang rugi, bagaimana nak kawal emosi, apa strategi-strategi yang bagus, apa pilihan yang ada jika sesuatu yang luar jangkaan berlaku, dan banyak lagi. Dengan ilmu-ilmu ni, stress level lebih terkawal dan performance pelaburan lebih mantap.
🏆 Tahap kepuasan: TINGGI
– Sudah tentu anda akan berasa sangat puas hati jika berjaya menjana pendapatan berkali-kali ganda tanpa perlu bersusah payah (minimal effort). Melabur ialah cara yang paling sesuai untuk menjana duit extra sekiranya kita seorang yang berkerjaya atau seorang yang sentiasa sibuk. Ini kerana pelaburan hanya memerlukan sedikit masa dan komitmen, ia tidak mengganggu kerja hakiki kita. Senang cerita kita hanya letakkan duit modal untuk mendapatkan ASET, selebihnya biarkan je ASET pelaburan tadi menghasilkan lebih banyak duit untuk kita.
INVESTOR:
Seorang yang MELABUR,
menggunakan duitnya untuk membeli ASET PELABURAN.
Aset pelaburan ni akan ‘bekerja’ bagi pihak pemiliknya,
untuk menjana KEUNTUNGAN dan PENDAPATAN PASIF.
Penutup
Apa pendapat anda setelah mengetahui 4 kategori sumber pendapatan di atas? Adakah anda faham kesemuanya? Adakah anda tahu kerjaya anda sekarang ni berada di kategori yang mana?
Bagus jika kita dapat FAHAM dan BEZA-KAN kesemua 4 Cashflow Quadrant. Jika masih konfius, boleh praktis lagi dan lagi, caranya: perhatikan bagaimana setiap orang di sekeliling kita dapat duit, dan cuba kategorikan sumber pendapatan mereka mengikut ciri-ciri yang telah diterangkan. Adakah mereka Employed, Self Employed, Business Owner atau Investor?
InshaAllah dalam perkongsian yang akan datang, saya akan ceritakan lebih lanjut tentang konsep Cashflow Quadrant ni dan yang paling penting, bagaimana nak menggunakannya untuk upgrade status kewangan dan kehidupan kita InshaAllah (link).
Ikhlas dari sahabat emas anda,