Salam sejahtera,
Semoga kita sentiasa sihat dan dikurniakan rezeki yang berkat. Sepanjang beberapa tahun yang lepas, kita menyaksikan kenaikan harga emas yang mendadak. Banyak faktor yang menyumbang kepada kenaikan ini, antaranya ialah peperangan. Ketidakstabilan geopolitik menyebabkan ramai pelabur memindahkan duit mereka dari pelaburan berisiko tinggi kepada aset selamat seperti emas (link).
Apabila berbicara tentang aset emas, sebenarnya bukan ‘jongkong emas’ sahaja yang dimaksudkan. Terdapat beberapa aset pelaburan lain yang secara langsung atau tidak langsung berkait dengan pergerakan harga emas dunia, anggaplah ia sebagai lubuk emas. Disclaimer: Penulisan ini ialah perkongsian ilmu dan pengalaman sahaja, ia bukan nasihat kewangan atau saranan untuk melabur.
Lubuk Emas = Aset Pelaburan Berkaitan Emas
Matlamat utama pelaburan dalam sesuatu aset ialah untuk mendapatkan keuntungan melalui perbezaan harga belian dan jualan aset tersebut. Pelabur emas menjana wang ringgit dengan membeli aset emas pada harga yang rendah dan menjualnya pada harga yang tinggi. Terdapat beberapa kategori aset yang harganya turun dan naik mengikut pergerakan harga emas iaitu:
- Pelaburan Emas Fizikal (Physical Gold)
- Pelaburan Dana Emas (Gold Exchange-Traded Funds)
- Pelaburan Saham Syarikat Berkaitan Emas (Gold-related Equity)
- Pelaburan Kontrak Emas (Gold Futures/Spot Gold)

1) Pelaburan ‘Emas Fizikal’
Lubuk emas yang pertama ialah pelaburan EMAS FIZIKAL. Konsepnya mudah, kita beli jongkong emas hari ini dan simpan, selepas beberapa tahun (iaitu apabila harganya sudah naik) kita jual jongkong emas tersebut untuk mendapatkan keuntungan.
Contoh: katakan 10tahun yang lepas saya telah membeli sekeping 1dinar pada harga RM700 dan saya telah menjualnya hari ini pada harga RM2,000. Maka saya telah mengaut keuntungan sebanyak RM1,300 untuk pelaburan tersebut. Ini keuntungannya jika saya beli sekeping 1dinar, cuba bayangkan keuntungannya jika saya beli 10keping atau 100keping 1dinar. Agak-agak banyak atau sangat banyak keuntungan pelaburan ini?
PROS: Ini ialah lubuk pelaburan emas yang PALING SELAMAT kerana kita personally simpan jongkong emas yang telah dibeli, ini memudahkan kita exit pada bila-bila masa. Bayangkan seandainya negara kita tiba-tiba dijajah, kita boleh segera lari bersama jongkong emas yang dimiliki without delay. Atau jika harta kita tiba-tiba dibekukan (contoh: di-isytihar bankrap), kita boleh cepat-cepat sorok emas yang dimiliki sebelum ia dituntut pihak berkenaan. Salah satu kelebihan emas fizikal ialah ia satu-satunya aset berharga yang tidak perlu didaftarkan (tiada dalam financial system) so tak sesiapa pon tahu berapa emas yang kita miliki dan ia selamat dari cengkaman mereka yang mahu merampas harta kita.
Emas fizikal berbeza dengan lubuk emas lain yang transaksinya perlu melalui investment platform (ada dalam financial system). Tentunya transaksi ini perlu diluluskan pihak tertentu terlebih dahulu sebelum kita boleh exit daripada pelaburan tersebut. Jika transaksi disekat maka kita tak boleh nak claim duit pelaburan tersebut pada kadar yang segera, keadaan ini tidak ideal apabila berdepan keadaan kecemasan seperti peperangan.
CONS: Menyimpan emas fizikal mendedahkan kita kepada risiko kecurian atau kehilangan emas (contoh: lupa letak emas kat mana). Sebaiknya kita sewa peti besi swasta bagi tujuan safekeeping supaya tidur malam lebih nyenyak namun ini melibatkan kos sampingan yang akan mengurangkan keuntungan pelaburan. Sebagai contoh, kos menyewa peti besi di Public Safe hampir RM100/tahun dan kebiasaannya kita perlu menyewa >3tahun sementara menunggu kenaikan harga emas/keuntungan pelaburan.

2) Pelaburan ‘Dana Emas’
Anda biasa dengar dana unit trust? Syarikat unit trust menjual unit saham untuk mengumpul dana yang akan dilaburkan di pasaran saham, sukuk, indeks, komoditi, etc. Model yang sama dilihat pada mana-mana Exchange-Traded Funds (ETF) termasuk ‘dana emas’ yang dipanggil Gold ETF. Lubuk emas yang kedua ini terdapat di pasaran modal antarabangsa seperti SPDR Gold Shares (yang disenaraikan di NYSE ARCA) dan pasaran modal tempatan seperti TradePlus Shariah Gold Tracker (yang disenaraikan di KLSE).
Orang ramai berpeluang membeli unit saham Gold ETF (or should I say unit emas?) menggunakan platform broker berdaftar. Duit di dalam dana Gold ETF digunakan oleh pihak pengurusan untuk membeli emas fizikal yang disimpan oleh mereka, sebab itu lah harga unit saham Gold ETF sentiasa reflect nilai keseluruhan emas yang dimiliki dana tersebut. Apabila harga emas naik, harga unit saham Gold ETF turut naik dan pelabur mendapat keuntungan melalui perbezaan harga jual/beli unit saham tersebut.
Contoh: katakan beberapa tahun lepas saya telah membeli 1,000unit Gold ETF pada harga RM2.80/unit (modal RM2,800), dan menjualnya tahun ini pada harga RM4.40/unit (hasil jualan: RM4,400), maka saya telah mengaut keuntungan sebanyak RM1,600 daripada pelaburan tersebut.
PROS: Kita boleh menikmati keuntungan kenaikan harga emas TANPA mengambil risiko menyimpan fizikal emas itu sendiri. Ini ialah sebab utama sesetengah pelabur lebih gemar membeli Gold ETF berbanding Physical Gold.
CONS: Kita hanya boleh redeem fizikal emas dalam kuantiti yang banyak sekaligus. Sebagai contoh, Gold ETF TradePlus Shariah Gold Tracker menetapkan syarat minimum redemption sebanyak 500,000 unit jika pelabur ingin mengeluarkan emas fizikal dari dana tersebut (ini bersamaan lebih kurang 5 KILOGRAM EMAS..!). Kalau setakat nak keluarkan jongkong emas 10gram lupakan je lah hasrat kita tu, huhu. Selain itu, kita akan dikenakan caj servis tahunan untuk menanggung kos pengurusan dana. Bagi TradePlus Shariah Gold Tracker, caj servis yang dikenakan ialah:
- Annual Management Fee: 0.30% setahun
- Annual Trustee Fee: 0.06% setahun
- Annual Custody Fee: 0.20% setahun
- Quarterly License Fee: 0.0075% setiap 3bulan
- +/- Brokerage Fee yang dikenakan trading platform anda

3) Pelaburan ‘Saham Syarikat Berkaitan Emas’
Kedua-dua lubuk emas yang diceritakan sebelum ini berkait secara direct dengan jongkong emas, sekarang saya ingin huraikan lubuk emas ketiga yang berkait secara indirect iaitu Gold-related Equity. Equity bermaksud pemilikan dalam syarikat yang menjalankan sebarang aktiviti perniagaan, manakala Gold-related Equity bermaksud syarikat tersebut menjalankan bisnes yang ada kaitan dengan emas seperti:
- Syarikat eksplorasi emas (exploration/developer company): cth: Golden Minerals Company
- Syarikat pelombong dan pengeluar emas (producer/mining company): cth: Barrick, Newmont, Bahvest Resources Berhad
- Syarikat pemberi modal untuk pembangunan lombong emas (royalty company): cth: Franco-Nevada
- Syarikat penjual jongkong emas/barang kemas (retail/jewellery company): cth: Poh Kong Holdings Berhad, Aurora Italia International Berhad
Apabila harga emas naik, keuntungan syarikat-syarikat ini akan naik. Apabila keuntungan syarikat naik, ini akan menarik minat pelabur untuk membeli saham syarikat tersebut seterusnya menaikkan harga saham-nya. Keuntungan diperoleh apabila pelabur menjual saham syarikat pada harga yang lebih tinggi berbanding harga beli. In case awak tak tahu, sebenarnya kita boleh beli shares syarikat yang tersenarai di pasaran saham sahaja, kita TAK BOLEH nak beli shares syarikat milik persendirian (melainkan towkey syarikat tu nak jual kat awak la). Oleh kerana Malaysia BUKAN pengeluar emas yang utama di dunia, Gold-related Equity lebih banyak didapati di pasaran saham luar negara. Jika mahu melabur dalam syarikat tersebut, kita perlu menggunakan trading platform yang ada access kepada international market serta perlu memastikan saham syarikat yang dibeli patuh shariah.
PROS: Apabila harga emas naik, biasanya harga saham Gold-related Equity naik lebih tinggi berbanding kenaikan harga emas fizikal itu sendiri. Ini bermaksud pelabur untung lebih banyak apabila menjual-beli saham syarikat berkenaan berbanding emas fizikal. Sebagai contoh: dari April 2009 hingga December 2010, harga emas fizikal telah naik dari $950/Oz ke $1,530/Oz iaitu kenaikan sebanyak 61%. Sedangkan dalam tempoh masa yang sama, harga saham syarikat Golden Minerals (syarikat eksplorasi emas) telah naik dari $0.03/unit ke $28.00/unit iaitu kenaikan sebanyak 93,233%..! (rujuk graf di bawah). Wow, ini baru dinamakan untung besar.
CONS: Oleh kerana apa yang kita miliki ialah saham syarikat, aset ini dipengaruhi prestasi kewangan syarikat dan sentimen semasa. Ini mendedahkan pelabur kepada risiko kerugian yang melampau (berbanding pelaburan emas fizikal yang lebih stabil harganya). Saya nak bagi contoh syarikat yang sama iaitu Golden Minerals, harganya telah turun dari puncaknya $28.00/unit kepada $0.50/unit dalam masa 3tahun sahaja iaitu kerugian sebanyak 98% (sikit lagi nak bankrap..!). Wow, ini baru dinamakan rugi besar.

4) Pelaburan ‘Kontrak Emas’
Lubuk emas yang keempat dan terakhir ialah pasaran Gold Futures (niaga hadapan) dan pasaran Spot Gold (macam forex). Dalam bahasa yang paling mudah, pelaburan ini melibatkan kita berniaga kontrak emas. Contoh: katakan saya trigger kontrak ‘beli emas 10gram pada harga RM480/gram‘, saya telah membayar duit sebanyak RM4,800 untuk mendapatkan apa yang dipanggil sebagai paper gold sebanyak 10gram.
Situasi 1 (Untung): Selepas seminggu harga emas telah naik kepada RM490/gram, saya telah menjual paper gold tersebut pada harga RM4,900 dan meraih keuntungan sebanyak RM100 dalam masa seminggu sahaja. Ini keuntungannya jika saya beli 10gram paper gold, kalau beli 100gram keuntungannya RM1,000, dan kalau beli 1kilogram keuntungannya RM10,000 dalam masa seminggu sahaja (tak mustahil beli 1kg dengan modal rendah apabila menggunakan kemudahan margin).
Situasi 2 (Rugi): Begitu juga sebaliknya, jika harga emas turun kepada RM470/gram dalam masa seminggu maksudnya saya telah rugi RM100 dalam masa seminggu sahaja. Ini kerugiannya jika saya beli 10gram paper gold, kalau beli 100gram kerugiannya RM1,000, dan kalau beli 1kilogram kerugiannya ialah RM10,000 dalam masa seminggu sahaja. Ouch!
Seperti yang kita dapat lihat, transaksi ini TIDAK melibatkan emas fizikal yang dipegang di tangan (sebab itu lubuk emas keempat ini non-shariah). Ia semata-mata kontrak atas kertas yang TAK boleh ditukar menjadi jongkong emas walau 1gram. Jika harga emas naik pelabur dapat duit lebih, jika harga emas turun duit modal hangus. That’s all.
Pelaburan begini digemari golongan trader kerana ia melibatkan spekulasi pergerakan harga emas short-term, perbezaan harga bid/ask yang nipis (berbanding spread emas fizikal), penggunaan teknik short position (teknik yang digunakan bila kita rasa harga emas akan jatuh tak lama lagi) dan boleh melabur secara leverage/margin (beli kontrak emas berkali-kali ganda lebih banyak berbanding modal).
Pasaran gold futures yang sangat famous ialah COMEX (Commodity Exchange) di Amerika, manakala pasaran gold futures yang lebih dekat dengan kita ialah FGLD Gold Futures (didagangkan di Bursa Malaysia). Walaupun FGLD merupakan produk derivative yang sah (diiktiraf Securities Commission Malaysia), namun statusnya non-shariah compliant.

Penutup
So.. apa pendapat awak setelah mengetahui ciri-ciri kesemua 4 lubuk emas? Lubuk mana-kah yang paling sesuai dengan risk appetite awak? Saya sendiri hanya ‘memancing’ di lubuk pertama iaitu pelaburan emas fizikal. Beli emas, dapat EMAS FIZIKAL. Bukan kontrak emas, saham emas, unit emas, dividen emas dan sebagainya.
Pesan saya tak kira di mana kita ingin melabur, letak syarat 1) pelaburan itu Patuh Shariah, dan 2) pelaburan dengan syarikat yang berdaftar dan diiktiraf pihak berkuasa tempatan. Ini kerana syarat nombor satu menyelamatkan kita dari Api Neraka, manakala syarat nombor dua menyelamatkan kita dari tipu daya Skim Cepat Muflis yang tak habis-habis nak scam kita.
Ikhlas dari sahabat emas anda,
