Salam sejahtera,
Semoga kita semua sihat sentiasa. Saya harap awak sudah baca perkongsian saya sebelum ini tentang mengapa saya letak jawatan sebagai seorang doktor di hospital kerajaan. Jika belum, awak boleh baca entry tersebut di sini (link). Harini saya nak sambung cerita, iaitu saya nak share bagaimana saya susun strategi supaya proses peletakan jawatan saya berjalan lancar, seterusnya mengawal risiko komplikasi terhadap kewangan dan kehidupan saya pasca quit gomen.
Step 1: Persediaan dari aspek kewangan (personal finance)
Dari aspek kewangan, ada beberapa faktor yang perlu difikirkan SEBELUM letak jawatan iaitu: sumber pendapatan selepas quit, status kewangan keluarga, benteng kewangan, pelan persaraan, loan bank/kerajaan dan JPA scholarship.
SUMBER PENDAPATAN SELEPAS QUIT: Tanya diri sendiri, ‘bagaimana saya nak cari duit/nafkah jika saya quit hari ini?’ Jangan sesekali quit selagi kita gagal menjawab soalan ini dengan confident, itu cari pasal namanya. Untuk saya, jawapannya ialah dengan menjadi freelancer, iaitu bekerja sebagai doktor locum di klinik-klinik swasta yang memerlukan doktor pengganti. Saya akan ceritakan labih lanjut selepas ini.
STATUS KEWANGAN KELUARGA: Adakah kita satu-satunya breadwinner dalam keluarga kerana isteri tidak bekerja? Adakah hutang sedia ada sekarang menyebabkan kewangan kita selalu semput sehinggakan tiap-tiap bulan terpaksa ikat perut menanti hari gaji masuk? Jika ya, elok tangguhkan dulu niat nak quit. Bukan apa, kita perlu berhati-hati dan fikirkan worst case scenario. Mana tau kot-kot pendapatan selepas quit tak sebanyak sebelum ni, malah mungkin ada bulan yang tiada pendapatan langsung. Jika silap strategi takut jatuh bankrap atau terpaksa makan megi tiap-tiap hari untuk jimat duit. Jika anda hadapi masalah ni, fokus untuk kurangkan perbelanjaan dan hutang bulanan dulu. Situasi kewangan saya agak stabil kerana hanya satu per tiga gaji saya sekarang digunakan untuk bayar komitmen (bahasa moden: debt-to-income ratio sekitar 30%), dan saya juga bukan sole breadwinner kerana isteri ada gajinya sendiri. Maksudnya inshaAllah keluarga saya tak kebuluran dan takde yang jatuh bankrap if things doesn’t go according to plan..
BENTENG KEWANGAN: Saya akan huraikan lebih lanjut tentang benteng kewangan dalam perkongsian yang lain. Dipendekkan cerita, benteng kewangan ni diperlukan sebagai buffer selepas kita dah berhenti kerja nanti, mana tau kot-kot berlaku masalah di luar jangkaan. Kiranya jika saya hilang sumber pendapatan ketika freelance, saya masih boleh hidup untuk beberapa bulan macam biasa tanpa masalah. Ini kerana sebelum berhenti kerja saya telah menyimpan duit kecemasan bersamaan 4 hingga 5 bulan perbelanjaan bulanan DAN telah memiliki 100gram emas sebagai backup. Mujurlah begitu kerana sebulan selepas saya quit, tak disangka-sangka saya terpaksa #stayathome jaga anak kerana kerajaan telah mengeluarkan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan pengasuh anak saya ‘tersangkut’ di kampungnya, dan saya sendiri jobless (tiada slot locum time PKP)..! Huhu
PELAN PERSARAAN: Semasa saya ditawarkan penjawatan tetap di Kementerian Kesihatan Malaysia, saya diberi satu borang yang perlu ditandatangani. Borang tersebut memerlukan saya buat keputusan: sama ada mahu menerima ATAU menolak skim KWSP. Mereka yang menolak skim KWSP secara automatik akan menyertai skim pencen kerajaan. Oleh kerana saya ni jenis yang tak suka dikongkong/disuruh (dan juga jenis yang suka memberontak 😅), saya khuatir kemampuan saya untuk bekerja lama dengan kerajaan – kiranya saya telah menerima skim KWSP. Jika awak telah memilih skim pencen, elok fikir panjang dulu kerana awak tak dapat apa-apa manfaat selepas quit gomen (melainkan awak sudah capai taraf berpencen). Kiranya selepas letak jawatan, awak perlu menabung untuk persaraan from ZERO..
LOAN BANK/KERAJAAN: Jika kita ada loan dengan kerajaan iaitu LPPSA (nama panjang: Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam), maka kita kena transfer loan tersebut kepada bank sebelum quit. Saya tak pasti bagaimana prosesnya kerana saya tiada loan LPPSA. Salah satu kelebihan kakitangan kerajaan ialah mudahnya nak lulus personal loan. Selepas quit, proses untuk ambil loan menjadi lebih sukar terutamanya jika freelance (kerana tiada slip gaji). Jika lulus pon, mungkin bank akan kenakan caj keuntungan yang lebih tinggi/mahal berbanding mereka yang kerja kerajaan. Jika rasa ada kemungkinan nak guna sejumlah wang yang besar selepas quit (contoh: modal berniaga), lebih baik apply personal loan SEBELUM letak jawatan. Syaratnya ialah kita kena kekalkan debt-to-income ratio sekarang dengan menyelesaikan dulu komitmen/hutang-piutang sebelum ini. Dalam kes ini, saya telah mengambil personal loan sebanyak RM120,000 sekitar 6 bulan sebelum saya letak jawatan. Saya telah alihkan sebahagiannya untuk selesaikan komitmen sedia ada dan selebihnya saya jadikan modal standby untuk buka klinik sendiri pada masa hadapan.
JPA SCHOLARSHIP: Untuk mereka yang belajar Medic melalui biasiswa JPA, jangan lupa yang anda telah menandatangani perjanjian untuk bekerja dengan pihak kerajaan selama 10tahun. Mereka yang quit SEBELUM tamat tempoh perkhidmatan wajib berisiko dikejar pihak JPA, seterusnya dikehendaki bayar balik wang biasiswa tersebut atau dikenakan tindakan mahkamah. Oleh kerana saya ditaja oleh pihak MARA (link), saya tidak berhadapan dengan masalah ini.
Step 2: Membuat kajian teliti tentang arahtuju selepas quit
Sekukuh mana pon profile kewangan kita, janganlah kita rage quit (maksudnya: berhenti kerja serta-merta kerana marah/give-up) tanpa melakukan kajian terperinci tentang halatuju seterusnya terlebih dahulu. Ini sangat penting kerana tanpa perancangan teliti kita akan terkapai-kapai, takkan nak ‘tanam anggur’ je lepas quit kan? 🍇
Sambil mengatur kewangan peribadi, saya telah membuat research untuk mendapat gambaran yang lebih jelas tentang kerjaya seorang doktor setelah berhenti kerja gomen. Caranya mudah, mulakan dengan benda yang kita boleh buat tanpa keluar rumah iaitu: google je lah. Lebih spesifik, ketika itu saya banyak membaca tentang perkongsian doktor-doktor yang telah berjaya membuka klinik sendiri (dan juga mereka yang stress kerana bisnes klinik mereka gagal atau suam-suam kuku). Mencedok pengalaman orang lain sangat membantu saya yang ketika itu sangat clueless.
Saya juga membeli ebook yang menerangkan secara terperinci, langkah-demi-langkah, tentang cara nak setup klinik sendiri. Memang ‘penat minda’ membaca tentang borang yang perlu diisi, syarat saiz bilik konsultasi/rawatan, dan segala rules and regulations yang lain. Saya dah la seorang yang tak suka birokrasi, rilek-rilek sudeh. Masalahnya jika tak follow guideline CKAPS jawabnya memang klinik takkan dapat kelulusan untuk beroperasi.
Jangan asyik terperap di rumah, kita perlu mencari ilmu dan pengalaman di luar juga. Saya telah menghadiri kursus General Practice (GP) selama 2hari di Kuala Lumpur untuk mendengar lecture ‘orang lama’ tentang topik-topik penting seperti Group Practice versus Solo Practice, Telemedicine, Aesthetic, Labour Law, etc. Saya telah practice beberapa prosedur yang biasa dibuat di klinik swasta seperti intra-articular injection dan implanon insertion. Saya juga menghadiri salah satu business presentation oleh group Primer (rangkaian klinik swasta yang sangat berjaya) di Kota Bharu dan dari situ saya banyak belajar tentang clinic marketing dan juga expansion strategy. Saya juga praktis site visit – buat kajian terperinci tentang lokasi yang sesuai untuk buka klinik swasta dari segi populasi, market demand, potensi kawasan, strategi pemasaran dan lain-lain.
Ilmu pengetahuan sahaja tak mencukupi, saya perlu ‘merasai’ sendiri kerjaya seorang GP. Ini bermaksud saya terpaksa luangkan sebahagian masa untuk buat locum di klinik swasta walaupun jadual oncall sedia ada pon dah tak larat nak masuk sebenarnya. Jujurnya saya tak pernah buat locum ketika bekerja sebagai doktor kerajaan sehingga-lah 6bulan terakhir sebelum saya quit. Itu pon saya me-locum sebab nak experience kerja GP je, bukan sebab nak part-time pon (duit locum ambik jugak la tapi hehe). Selain itu, saya telah mengopi bersama beberapa doktor yang sedang freelance untuk mendengar sendiri pengalaman mereka tentang kerjaya ‘doktor lompat-lompat klinik’ (maksudnya tiada tempat praktis yang tetap).
Pendek cerita, di mana ada peluang untuk belajar tentang ‘klinik swasta’ (a.k.a. General Practice), di situ saya akan pergi mengadap. Hasil kajian yang diperoleh amat membantu saya untuk memahami kerjaya dan pilihan yang ada selepas quit kerja gomen.
Step 3: Merancang career pathway
Selepas berhenti kerja gomen, setiap doktor ada beberapa pilihan:
1. PERTAMA: bekerja di HOSPITAL swasta (sebagai doktor tetap).
2. KEDUA: bekerja di klinik swasta milik orang lain (sebagai doktor tetap).
3. KETIGA: buka dan bekerja di klinik swasta milik sendiri (sebagai doktor tetap di klinik sendiri).
4. KEEMPAT: bekerja sebagai freelancer (sebagai doktor ganti di klinik orang lain).
5. KELIMA: abandon terus kerjaya seorang doktor dan ceburi bidang/bisnes lain.
Oleh kerana saya tak mahu oncall dan (sebolehnya) saya dah tak nak handle kes-kes life-threatening, pilihan PERTAMA (iaitu bekerja di hospital swasta) dikira OUT secara automatik. Lagipun sepanjang 5 tahun kerja kerajaan saya memang bertugas di hospital je. Saya ingin mencuba sesuatu yang baru, iaitu nak rasa suasana kerja di klinik pula (orang kelantan kata ‘nok ko suasano‘). Mungkin suasana yang less intense lebih sesuai dengan jiwa saya..
Pada peringkat awal, saya paling suka pilihan KETIGA iaitu buka klinik sendiri. Ini memberikan saya kebebasan penuh kerana saya boleh pilih di mana dan bila saya nak bekerja (saya sendiri tetapkan lokasi dan waktu klinik dibuka). Malah saya sendiri tetapkan bagaimana operasi klinik berjalan, dan saya tak perlu bekerja di bawah arahan sesiapa. Namun, buka klinik sendiri ialah satu bisnes. Ini bermaksud di samping buat kerja doktor (merawat pesakit), saya perlu buat kerja administrative (contoh: order stok ubat, isi borang claim, mengurus staf, etc) DAN kerja bisnes (contoh: mengurus aliran tunai, merangka strategi perniagaan, marketing, etc). Oleh kerana saya TAK MINAT bisnes klinik, bagi saya kerja-kerja extra ni langsung tidak menyeronokkan. Malah saya tiada ahli keluarga yang pernah buka klinik swasta, ini bermaksud saya kena belajar sendiri cara nak setup klinik from scratch without guidance. Sudah tentu saya akan ‘langgar banyak dinding’ dan rugi banyak duit setiap kali buat silap. Kalau kewangan syarikat bermasalah (sales rendah, klinik non-profitable, etc) siapa nak bagi duit kalau bukan dari poket sendiri? Dah la benteng kewangan peribadi saya cukup-cukup makan je. Jika tersilap langkah, bukan setakat bisnes klinik yang lingkup, entah-entah saya lingkup sekali. Nauzubillah.. Setelah berfikir panjang, saya rasa lebih baik lupakan dulu hasrat buka klinik sendiri buat masa ini.. Jadi pilihan KETIGA ni letak tepi dulu.
Saya consider jugak pilihan yang KELIMA iaitu: abandon terus kerjaya seorang doktor dan ceburi bidang/bisnes lain. Namun side income saya memang tak cukup nak replace gaji sekarang. Contoh: Walaupun saya dapat ‘duit poket’ dalam bentuk komisyen sebagai dealer Public Gold, namun jumlahnya terlampau sedikit (tak sampai 1% gaji doktor), tak cukup untuk jadi ‘pengganti’ gaji saya selepas letak jawatan nanti. So, pilihan KELIMA pon OUT..
Selepas melihat pros and cons of remaining choices iaitu pilihan KEDUA (kerja sebagai doktor tetap di klinik orang lain) dan KEEMPAT (freelance), saya lebih cenderung ke arah menjadi seorang freelancer. Walaupun masa tu banyak klinik swasta sedang mencari resident doctor namun lokasi klinik mereka agak jauh dari rumah. Sedangkan saya perlu menguruskan hal remeh-temeh rumahtangga seperti menghantar dan mengambil anak di sekolah (saya dan isteri tiada keluarga di Terengganu jadi kami terpaksa bergilir-gilir menguruskan anak). Dipendekkan cerita saya memilih untuk freelance dulu buat masa ni, dan jika ada klinik swasta berdekatan mencari resident doctor saya akan consider untuk join diaorang.
Freelance bermaksud saya bekerja sebagai doktor ganti (juga dipanggil dr locum) di mana-mana klinik swasta. Sebagai contoh: katakan doktor yang bekerja tetap di Klinik XYZ ingin mengambil cuti pada 20/11/2022, maka staf klinik akan promote slot locum tersebut kepada doktor luar. Katakan saya available pada tarikh tersebut, maka saya boleh book slot tu. Bila sampai harinya, saya akan pergi ke Klinik XYZ dan jalankan tugas saya sebagai doktor ganti sehingga habis waktu. Selepas tamat, saya akan dibayar mengikut jumlah jam bekerja dan harga yang telah dipersetujui. Sebagai contoh, jika saya bekerja selama 3 jam pada rate RM40/jam, maka saya akan dibayar RM120 selepas tamat sesi locum tersebut.
Sebagai freelancer, saya tidak terikat dengan jadual kerja kerana ia tertakluk kepada availability. Jika ada slot locum yang sesuai, saya boleh masuk kerja. Jika tidak, saya perlu tunggu slot locum yang lain. Biasanya saya lebih gemar me-locum di klinik yang berdekatan dengan rumah dan saya perlu memastikan isteri saya available untuk menguruskan anak sebelum mengambil mana-mana slot locum.
Namun begitu, bukan semuanya indah bila jadi freelancer. Walaupun lebih bebas, pendapatan seorang freelancer terhad kepada slot availability dan jika terlampau memilih, nanti tak cukup duit nak cover perbelanjaan bulanan. Malah freelancer biasanya tiada caruman KWSP dan SOCSO. Tanpa kedua-duanya, saya akan menghadapi masalah besar jika ditimpa penyakit atau kemalangan, dan juga masalah kewangan ketika ingin bersara kelak. Kiranya berisiko tinggi jugak la jadi freelancer ni..
Step 4: Beristikharah dan berdoa
Manusia hanya mampu merancang, Allah yang Menentukan segala-galanya. Dia Maha Mengetahui apa yang baik dan buruk untuk setiap manusia dan kepada-Nya kita semua bertawakkal. Selagi hati masih was-was dan tak menentu berfikir tentang masa depan, teruskan berdoa dan beristikharah. Saya sendiri telah menggunakan sepenuhnya kesempatan ketika mengerjakan umrah kira-kira 8 bulan sebelum quit untuk berdoa meminta ditetapkan hati dan ditunjukkan jalan yang terbaik (link).
Step 5: Membuat Keputusan, Memohon Cuti-Tanpa-Gaji (optional), dan Menghantar Notis 30-hari
Walaupun sudah nekad nak freelance, saya tetap sediakan backup plan. Kebetulan ketika itu salah satu klinik swasta di Terengganu sedang merancang untuk buka cawangan barunya di Kuala Berang (iaitu tempat tinggal saya sekarang), dan mereka sedang mencari doktor untuk menjadi Person-In-Charge (PIC). Dipendekkan cerita, saya telah bersetuju untuk bekerja sebagai resident doctor di klinik tersebut apabila ia siap kelak (sekitar akhir tahun 2020). Saya fikir ini lebih selamat kerana saya akan ada gaji tetap, serta KWSP dan SOCSO (versus kerjaya freelance).
Bila dah ada plan yang jelas saya lebih yakin nak quit, dan sekarang tibalah masanya. Kebiasaannya kita akan ambil Cuti-Tanpa-Gaji (CTG) terlebih dahulu sebelum hantar surat resign. Bukan apa, kot-kot tetiba berubah fikiran masa CTG tu at least kita boleh U-turn balik. Saya berjumpa dengan pengarah hospital dan menyatakan hasrat saya nak quit. Pengarah membenarkan saya ambil cuti-tanpa-gaji selama 2 bulan sahaja kerana jumlah doktor yang ada sekarang cukup-cukup makan je. Jika di tempat lain maybe boleh ambil CTG sekitar 6 – 8 bulan. Saya tak kisah sangat, lagipon saya masih ada baki cuti rehat (yang di-carry forward setiap tahun) berjumlah 25hari.
Kiranya keseluruhan transitional period yang saya ada ialah 3bulan, cukup untuk saya fikir se’masak-masak’nya sebelum hantar Notis 30-hari (iaitu surat official yang akan mengesahkan peletakan jawatan sebagai kakitangan kerajaan) – dalam erti kata lain: no more U-turn. Saya manfaatkan sepenuhnya waktu ini untuk me-locum di klinik-klinik swasta sekitar Kuala Berang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Memang benar tanggapan saya sebelum ini iaitu jika saya dapat full weekend setiap minggu dan bebas dari tugasan oncall, tentunya saya akan lebih enjoy kerjaya saya sebagai seorang doktor dan ini menguatkan lagi niat saya untuk quit.
Namun begitu setelah sebulan me-locum, kerajaan telah mengenakan sekatan pergerakan di seluruh Malaysia (PKP) yang menyebabkan saya ‘terkandas’ di rumah kerana terpaksa menjaga anak dan waktu itu boleh dikatakan TIADA LANGSUNG slot locum. Saya manfaatkan sepenuhnya tempoh masa ini untuk berehat serehat-rehatnya, hinggakan terlupa dah segala perasaan stress/penat/burnout yang membebani fikiran dan jiwa selama ini. Alhamdulillah.
Kini sudah tiba masanya untuk saya menghantar Notis 30-hari. Saya telah menghantar notis tersebut sebulan sebelum tamatnya cuti-tanpa-gaji (kiranya saya dah tak perlu masuk kerja lagi dah selepas tamat CTG). Tiada perasaan menyesal, dan tidak juga jubilant. Waktu itu kita sedang PKP, masa depan kabur-kabur kerana tak boleh nak me-locum, terputus langsung sumber pendapatan saya dibuatnya. Namun melihat kepada anak saya yang sedang PdPR di rumah (tadika pon ada PdPR!), saya merenung masa depannya yang memerlukan perhatian dan bimbingan seorang ayah yang boleh guide dia menjadi seorang hamba Allah yang baik. Bagaimana mungkin saya berbuat demikian jika seluruh jiwa, masa dan tenaga dihabiskan di tempat kerja? Semoga pengorbanan saya ini membuahkan hasilnya suatu hari nanti inshaAllah..
Jangan ikut perasaan, rangka strategi yang berkesan..
Akhir kata, semoga perkongsian saya kali ini sedikit sebanyak menjadi inspirasi untuk sesiapa sahaja yang sedang merancang untuk berhenti kerja gomen. Jujurnya saya sangat respect doktor-doktor kerajaan yang kebanyakannya telah (dan sedang) mengorbankan kepentingan diri untuk berbakti kepada rakyat. Saya sendiri terpaksa memilih jalan yang lain demi agama dan keluarga tercinta. Semoga kita semua diberi ganjaran yang melimpah ruah di dunia dan di akhirat walau apa jua kerjaya kita inshaAllah.
Ikhlas dari sahabat emas anda,