Salam sejahtera,

Semoga kita semua dilindungi Allah dari segala kebinasaan, dan semoga dibukakan minda dan hati kita supaya mudah menerima kebaikan. Dalam penulisan atau seminar emas, saya kerap sebut ayat-ayat seperti: “kita kena simpan duit“, atau “kita kena simpan emas“, atau “kita kena banyakkan aset kewangan dan buat persiapan masa depan“, dan ayat-ayat lain yang sewaktu dengannya. Ini mengundang komen dari sesetengah orang yang berkata:

Bukan-kah agama TAK MENGGALAKKAN kita mengumpul harta? Bukan-kah MENYIMPAN EMAS ni bermaksud kita mengumpul harta? Bukan-kah perbuatan ini dilarang agama?

Selalunya saya diam jer bila orang kata gini. Bukan apa, saya ni bukannya ustaz. Saya tiada kelayakan untuk berhujah persoalan agama. Nanti kalau tersalah cakap saya juga yang susah nanti. Mungkin dia ingat saya ajak orang simpan emas semata-mata untuk mengumpul harta atau untuk bermewah kot..

Namun rasanya sudah tiba masanya saya share pendapat saya tentang isu ni. Semenjak dunia dilanda pandemik COVID-19 saya lihat ramai orang terjejas kewangannya, sama ada semput sikit-sikit atau tersungkur terus. Ada yang terpaksa menerima gaji yang lebih rendah, dan ada yang diberhentikan kerja. Ada yang terpaksa buat kerja part-time kerana tak lepas nak bayar loan, dan ada yang terpaksa pinjam beras jiran kerana langsung tiada duit nak beli makanan.

Wabak COVID-19 datang secara tiba-tiba dan tak disangka-sangka. Ini menyebabkan ramai orang gagal membuat persediaan kewangan yang secukupnya. Saya pelik bila orang kata menyimpan duit atau emas bermaksud mengumpul harta semata-mata. Kerana jika mereka yang tidak menyimpan ni mengalami masalah kewangan sehingga culas bayar hutang atau terpaksa meminta-minta belas kasihan orang lain, adakah itu dikira sebagai saranan agama? Hmmm 🤔

75% rakyat Malaysia TIADA simpanan kecemasan walau RM1,000 (link). Sangat malang kerana mereka ni TIADA PERSEDIAAN LANGSUNG nak hadapi malapetaka atau kegawatan ekonomi seperti COVID-19 sekarang ni..

COVID-19: Malapetaka kesihatan, kewangan dan kehidupan

Pada akhir tahun 2019, satu virus baru (kini dikenali sebagai COVID-19) mula dikesan di Wuhan, China yang mana pada masa tu tiada orang expect ia akan merebak ke seluruh dunia dengan begitu cepat. Oleh kerana virus ni menyebabkan komplikasi pernafasan dan kadar kematian yang agak tinggi, kerajaan di seluruh dunia terpaksa melaksanakan perintah lockdown untuk mengekang penularan virus.

Perintah Kawalan Pergerakan telah menyebabkan semua orang (kecuali frontliners) terpaksa berkurung di rumah. Pelajar sekolah terpaksa belajar via home-based-learning kerana sekolah ditutup manakala pekerja diarahkan untuk work-from-home. Aktiviti keagamaan, rekreasi dan hiburan yang melibatkan perhimpunan orang ramai tidak dibenarkan. Sempadan negara telah ditutup dan aktiviti pelancongan disekat. Malah sempadan negeri juga ditutup kecuali untuk urusan penting yang memerlukan kebenaran rentas negeri. Dipendekkan cerita, semenjak awal tahun ini kehidupan seluruh rakyat Malaysia (dan dunia) jadi havoc disebabkan COVID-19.

Selain itu, lockdown telah menyebabkan kegawatan ekonomi serentak di seluruh dunia. Recession kali ini ialah unprecedented – bermaksud sebelum ini TAK PERNAH kegawatan ekonomi berlaku sebegini. Jika dilihat krisis ekonomi yang lepas, kegiatan ekonomi tetap berjalan meskipon sedang gawat, contohnya The Great Recession pada tahun 2008 (gawat disebabkan kejatuhan sektor perbankan di US) dan Asian Financial Crisis pada tahun 1997 (gawat disebabkan krisis matawang Asia).

Namun, apa yang berlaku ketika gawat kali ini ialah kegiatan ekonomi terhenti sepenuhnya disebabkan perintah lockdown di seluruh dunia. Antara sektor yang paling teruk terjejas ialah retail, pelancongan dan penerbangan, oil and gas, dan lain-lain. Kejatuhan ekonomi kali ini sangat teruk (terutamanya Mac-May 2020) sehingga diberi gelaran The Great Pandemic. Negara kita (dan seluruh dunia) masih dalam fasa pemulihan darinya dan tentunya akan mengambil masa beberapa tahun sebelum ekonomi kembali menyubur.

  • Seluruh dunia mengalami penguncupan ekonomi disebabkan COVID-19 termasuk Malaysia.

Bersiap-siaga menghadapi sebarang musibah dengan membina benteng kewangan yang kukuh

Kembali kepada topik hari ini, saya berpendapat amalan menyimpan ialah satu amalan yang baik dan seiring saranan agama dan bukannya ‘tidak digalakkan‘ seperti yang dikatakan sesetengah pihak. Ini kerana simpanan akan menjadi benteng kewangan kita sekiranya menghadapi sebarang musibah kelak. Itulah tujuan menyimpan, kita simpan duit gaji hari ini bukan sekadar suka-suka nak ada banyak harta, bahkan kita menyimpan kerana kita tahu pada masa hadapan akan tiba masanya kita perlukan duit tu untuk manfaat tertentu. Cuba kita hayati ayat-ayat di bawah:

Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh 7 tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.”

Kemudian akan datang selepas tempoh itu, 7 tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).”

Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun, dsb).”

Surah Yusuf 47 – 49

Mari kita ambil ibrah dari kisah yang diceritakan oleh Allah Azza Wa Jalla dalam Surah Yusuf iaitu tentang kebijaksanaan Nabi Yusuf (selaku Menteri Kewangan Mesir) menangani krisis kemarau panjang yang melanda negara Mesir pada suatu ketika dahulu. Walaupun setting cerita ni sudah lama, pengajarannya tetap relevant untuk zaman kita sekarang kerana Al-Quran ialah panduan hidup sehingga hari kiamat. Ibarat permata yang kekal bersinar selamanya..💎

Mari kita tengok bagaimana Nabi Yusuf telah membina rizab negara dengan menggunakan formula SIMPAN DAHULU, BELANJA KEMUDIAN. Baginda telah menyuruh rakyat Mesir menanam bersungguh-sungguh selama 7 tahun secara berterusan dan apabila tiba musim menuai, hendaklah hasil gandum tersebut terus disimpan di dalam gudang beserta dengan tangkai dan kulitnya (supaya kesegaran gandum tahan lebih lama). Hanya sedikit sahaja hasil gandum diambil untuk dijadikan makanan (untuk kegunaan sekarang). Strategi ini membolehkan simpanan gandum negara Mesir bertambah dengan banyak dan cepat.

Simpanan yang telah dibuat sepanjang 7 tahun di peringkat awal membolehkan rakyat Mesir survive ujian yang amat getir yang melanda negara mereka untuk 7 tahun yang seterusnya iaitu kemarau panjang. Mereka mampu teruskan hidup ketika musim kemarau dengan menggunakan reserve gandum yang mereka simpan sebelum ini. Malah, mereka juga mampu untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk dari kawasan lain (seperti rakyat Palestin) yang menghadapi masalah yang sama. Hard time is not meant to last, selepas 7 tahun menghadapi kemarau panjang, akhirnya rakyat Mesir boleh bergembira kerana negara mereka kembali makmur dengan limpahan rahmat hujan dan hasil tanaman yang banyak. Alhamdulillah.

Apakah pengajarannya untuk kita hari ini? Sebenarnya, kita bekerja untuk meraih pendapatan hari ini boleh diibaratkan seperti orang dulu menanam gandum. Kita menerima duit gaji hari ini ibaratnya orang dulu menuai hasil gandum. Sekarang cuba kita aplikasikan formula SIMPAN DULU, BARU BELANJA seperti yang telah diceritakan di atas. Bagaimana nak buat? Bila gaji kita masuk, benda pertama yang perlu dibuat ialah bina RIZAB KEWANGAN dengan mengalihkan sebanyak mungkin duit gaji ke tabung simpanan masa depan. Selepas itu baru kita gunakan duit selebihnya untuk berbelanja demi kelangsungan hidup hari ini.

Teknik SIMPAN DULU, BELANJA KEMUDIAN sangat efektif kerana (seolah-olah) gaji kita tinggal sikit dan kita secara automatic akan adjust gaya hidup kita supaya lebih berjimat-cermat dan kurang bermewah. Ini membolehkan benteng kewangan kita dibina sekukuh dan secepat mungkin. Jika tak mampu buat selama 7 tahun berturut-turut sekalipon, at least buatlah sehingga kewangan kita dah stabil, ada simpanan kecemasan yang mencukupi serta memiliki portfolio aset yang solid. Ini merupakan persediaan kita untuk menghadapi waktu susah (seperti kegawatan ekonomi sekarang ni) TANPA bergantung harap kepada sesiapa. Apabila waktu susah sudah berlalu, maka tiada salahnya jika ingin reward diri sendiri dengan sedikit kemewahan, tak gitu? Tak salah kita gunakan sebahagian rahmat yang telah dikurniakan kepada kita untuk bersenang-senang. Alhamdulillah 😊

SIMPAN DAHULU, BELANJA KEMUDIAN (LINK)

Memiliki harta seperti para sahabat..

Bila disebut tentang kehidupan orang kaya, kita selalu membayangkan mereka ni jenis yang mengejar kemewahan dunia seperti memiliki rumah besar-besar, kereta mewah bersusun-susun, suka melancong ke luar negara, sarapan di hotel 5 bintang, dining di Hard Rock Cafe, berfoya-foya di kelab malam dan sebagainya. That’s NOT always the case. Banyak je contoh hartawan yang bukan setakat kaya, malah mereka juga seorang pejuang agama yang warak dan suka menderma.

Jika dilihat kepada sejarah, ramai para sahabat yang berharta dan mereka telah menggunakannya untuk mengembangkan agama Islam. Antaranya ialah Sayyidatina Khadijah, Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Uthman, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi. Sayyidina Abu Bakar pernah menderma keseluruhan hartanya dalam peperangan Tabuk, manakala harta yang telah diwakafkan oleh Sayyidina Uthman suatu ketika dahulu masih dimanfaatkan umat Islam di Madinah sehingga sekarang! Selain itu, golongan ilmuwan tersohor juga ramai yang kaya, contohnya Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Diceritakan bahawa Imam Abu Hanifah pernah menderma (secara tersembunyi) wang sebanyak SERIBU DIRHAM kepada seseorang yang telah masuk ke majlis ilmunya dengan memakai pakaian yang lusuh.

Zaman kita sekarang pon ramai hartawan yang warak dan suka menderma, saya pasti anda mengenali mereka, bukan? Salah seorang daripadanya ialah Sulaiman Al-Rajhi. Jika anda rasa nama yang disebut sounds familiar memang benar, kerana beliau ialah pengasas kepada Bank Al-Rajhi yang mempunyai lebih 500 cawangan di seluruh dunia. Namanya tersenarai antara top 200 orang paling kaya di DUNIA, dan beliau telah menderma berbillion dollar wangnya kepada badan kebajikan untuk membasmi kemiskinan. Beliau juga seorang yang warak. Pernah sekali beliau meninggalkan majlis makan malam ketika menghadiri conference yang dianjurkan kerajaan kerana dalamnya terdapat majlis hiburan yang menyalahi syariat. Menteri yang bertanggungjawab akhirnya membatalkan program tersebut supaya beliau kembali hadir ke majlis tersebut. Itulah pengaruh orang kaya yang beriman.

Ini hanyalah secebis daripada kisah-kisah hartawan yang warak dan dermawan. Beza mereka dengan kebanyakan kita sekarang ialah harta mereka berada dalam TANGAN mereka, dan BUKAN dalam HATI mereka. Harta yang mereka ada bukannya untuk kemewahan diri sendiri semata-mata, bahkan digunakan untuk memperjuangkan agama dan membantu mereka yang memerlukan. So… adakah betul Islam tidak menggalakkan kita mengumpul harta?

Sulaiman Al-Rajhi: Billionaire yang warak dan dermawan (link)

Kesimpulannya..

Kemiskinan mendekatkan seseorang kepada kekufuran. Orang yang miskin bukan setakat tiada harta, dia juga akan kehilangan kuasa dan hak untuk bersuara. Dia akan mudah ditindas dan dianiaya. Sekarang cuba bayangkan jika semua orang Islam miskin dan lemah, amat mudah kita dijajah oleh mereka yang jahat nanti.. Apa bukti? Rohingiya di Myanmar? Uighur di China? Rakyat Gaza di Palestin? Fikir-fikirkan lah..

So.. adakah Islam melarang kita menjadi orang berharta? Adakah Islam melarang kita mengumpul duit untuk masa depan? Semuanya bergantung kepada niat kita, adakah untuk kebaikan akhirat atau semata-mata untuk kemewahan dunia? Tepuk dada tanya hati, anda lebih tahu jawapannya. Bagi saya harta ialah amanah yang diberikan Allah kepada kita dan ia membawa manfaat dunia dan akhirat jika digunakan dengan betul. Namun sekiranya ia digunakan untuk kemewahan duniawi semata-mata, maka kita akan sentiasa rasa duit tak cukup. Dah ada banyak duit pon masih rasa tak cukup. Lebih banyak masa dan komitmen terpaksa dikorbankan untuk menjana lebih banyak duit. Sedar-sedar kubur dah memanggil sedangkan persiapan akhirat belum dibuat. Bagi saya, golongan yang mengumpul harta jenis gini lah yang ditegah oleh agama.

Sebagai penutup saya ingin memetik satu ayat yang disebut tuan imam ketika khutbah Jumaat baru-baru ini: “Dalam Islam kekayaan ialah satu KEMESTIAN, sebaliknya kemiskinan ialah satu PILIHAN” bermaksud kita semua MESTI berusaha untuk jadi kaya, melainkan kita sendiri yang MEMILIH untuk jadi miskin. Wallahu a’lam.

Ikhlas dari sahabat emas anda,