Salam sejahtera,

Semoga kita semua sihat wal afiat. Jika awak sudah biasa membaca perkongsian saya tentang simpanan atau pelaburan emas sebelum ini, mesti awak tahu yang saya ni jenis yang conservative sikit. Maksudnya, bila orang tanya saya soalan seperti ‘berapa banyak emas yang perlu disimpan?’ atau ‘berapa ringgit patut saya gunakan untuk beli emas?’ atau ‘berapa lama simpan emas baru boleh untung?‘, saya cenderung untuk bagi jawapan yang paling selamat seperti:

  1. Hanya 10% – 30% harta peribadi disimpan dalam bentuk emas atau perak (30% tu untuk orang yang jenis poket bocor dan tak berdisiplin menyimpan duit)
  2. Hanya guna 10% gaji untuk simpan emas setiap bulan (jika lebih, cenderung untuk jadi tak konsisten)
  3. Hanya guna duit yang konfiden tak guna 3TAHUN untuk beli emas. Jika kurang dari 3 tahun, lebih baik simpan duit tu di tempat lain (cth: Tabung Haji)

Jadi harini saya nak ‘pecah tradisi’ sikit. Jika awak ada duit lebih yang tak digunakan tahun ini, saya cadangkan awak belanjakan SEBAHAGIAN BESAR duit tu untuk beli emas. Berapa besar? Sehingga 50% pon boleh. Ini kerana jika dilihat kepada analisa fundamental dan teknikal, hampir kesemua faktor ekonomi menunjukkan bahawa harga emas sekarang BERPOTENSI untuk naik ke harga tertinggi dalam sejarah..! 😲 Saya nak share tentang analisa ni tapi sebelum tu (seperti biasa) ada disclaimer sikit:

Apa yang ditulis hanyalah perkongsian pendapat saya je, ia bukan satu paksaan untuk melabur dan bukan bermaksud untuk menggantikan penasihat kewangan anda. Jadi kalau ada yang mengalami kerugian, penulis tak bertanggungjawab.


Analisa Teknikal

1. Momentum: Saya ada hurai dengan panjang tentang subjek momentum dalam perkongsian sebelum ini. Anda boleh baca artikel tu di sini (link). Ringkasannya, pergerakan harga emas yang menaik sejak tahun 2016 telah membentuk corak graf yang bullish. Ini bermaksud momentum pergerakan harga emas jangka panjang sedang menuju ke arah ATAS. Jika dulu kena tunggu lebih 3tahun untuk harga emas naik secara significant, sekarang walaupun baru beberapa bulan beli emas kita dah boleh nampak keuntungannya. Sebagai contoh, ramai client saya yang beli emas 1dinar pada harga RM900 tahun lepas (2019) terkejut apabila melihat harganya sekarang sudah mencecah RM1,100 dalam masa 8 bulan sahaja. Yang beli pada tahun 2018 tak yah citer la, harga 1dinar masa tu RM750 je, memang berbunga-bunga la hati mereka sekarang ni 🌸

Mereka yang beli emas 20tahun lepas, 5tahun lepas, 1tahun lepas, 6bulan lepas, 1bulan lepas, malah yang baru beli harini sekalipon, sedang menikmati MOMENTUM kenaikan harga emas yang berada dalam ‘bull market’ sekarang ini

2. Pattern Graf Bull Market: Jika awak sudah biasa melabur dalam mana-mana aset pelaburan, tentunya awak faham ayat ini: ‘pokok takkan tumbuh ke langit‘ bermaksud ‘harga takkan selama-lamanya dalam trend menaik‘. Dalam erti kata lain, dalam jangka masa panjang, harga aset TAKKAN sentiasa naik dan naik dan tak turun-turun. Sebaliknya, harga aset tersebut akan bergerak dalam bentuk kitaran. Ada ketikanya harga aset tersebut menaik (dipanggil bull market), dan ada ketikanya harga aset tersebut akan menurun (dipanggil bear market). Inilah pattern-nya tak kira anda melabur dalam saham, hartanah, atau mana-mana aset pelaburan yang lain.

Harga emas juga mengikut pattern ini, ada ketikanya ia dalam trend menaik dan ada ketikanya menurun. Saya dah cerita tadi yang pattern harga emas sekarang ialah MENAIK (bull market). Persoalannya sekarang ialah ‘sampai bila ia akan menaik‘? Jawapannya – TIADA SIAPA YANG TAHU. Namun apa yang kita boleh buat ialah kita boleh cuba bandingkan corak graf harga emas sekarang dengan corak graf yang typical untuk bull market seperti bawah ni. Bila dibuat perbandingan begini barulah mudah kita nak tengok sampai mana harga emas boleh naik. Jika betul harga emas sekarang ikut pattern graf bull market ni, nampak gayanya harga emas sekarang memang berpotensi untuk naik lebih jauh.

Secara teori sebarang aset yang sedang berada dalam ‘bull market’ akan ikut bentuk graf ini. Posisi harga emas sekarang ialah di permulaan ‘Mania Phase’. Jika ini betul-betul berlaku, kita mungkin dapat lihat puncak harga emas sekitar USD$5,000 – $7,000 per auns. Wallahu A’lam

Analisa Fundamental

1. Ekonomi Dunia Yang Tak Menentu: SEBELUM COVID-19 melanda, ekonomi dunia sudah sedia ada dalam keadaan tidak stabil disebabkan banyak faktor seperti Trade War Amerika-China, Mexico Tariff, ketegangan geopolitik Amerika-Iran, Brexit, hutang global terkumpul yang sangat tinggi, dan sebagainya.

SELEPAS COVID-19, ekonomi dunia terus jadi havoc. Macam mana tak kacau bilau, banyak negara yang lockdown untuk menghalang penularan wabak. Ini menyebabkan banyak bisnes terpaksa tutup kedai terutamanya dari industri pelancongan, retail, manufacturing, oil & gas dan sebagainya. Ini menyebabkan kegawatan ekonomi di seluruh dunia. Seperti yang kita tahu, dalam suasana ekonomi dunia yang tak menentu, ramai pelabur akan mengelak pasaran yang berisiko tinggi seperti saham dan bisnes. Sebaliknya mereka akan alihkan duit mereka ke pasaran yang lebih selamat seperti EMAS.

Hutang kerajaan di seluruh dunia pada tahun 2019 dianggarkan sekitar USD$60 – 70 trillion.
Kalau ditambah semua jenis hutang, jumlahnya dianggarkan sekitar USD$250 trillion..!
Kadar hutang yang melampau tinggi ini menyebabkan ekonomi dunia non-sustainable..
Sumber gambar: economist (link)

2. Safe Heaven: Dalam keadaan ekonomi gawat, terdapat satu kelas aset yang akan outperform aset pelaburan yang lain iaitu EMAS. Ini kerana sifat emas sebagai safe heaven yang menjadi tempat pelabur ‘parking‘ duit mereka sementara tunggu suasana ekonomi dunia kembali menyubur. Awak boleh baca lebih lanjut tentang emas sebagai safe heaven di sini (link).

EMAS cenderung untuk menunjukkan prestasi yang cemerlang berbanding aset lain dalam suasana kegawatan ekonomi. Gambar ni menunjukkan emas memberi pulangan 5.6% untuk suku pertama tahun 2020.
Sumber gambar: goldsilver (link)

3. Moneyprinting dan INFLASI: COVID-19 telah menjatuhkan ekonomi banyak negara di seluruh dunia. Sungguh gawat ekonomi dibuatnya sehinggakan kerajaan terpaksa boost balik ekonomi dengan memberi duit stimulus kepada rakyat dan bisnes-bisnes dalam negara. Duit ‘rangsangan ekonomi’ ni bukannya datang dari pendapatan negara (GDP) atau simpanan negara (reserve) semata-mata, bahkan ia juga datang dari ‘pinjaman’ yang dibuat oleh kerajaan/bank negara (atau dalam bahasa yang mudah: kerajaan ‘cipta’ duit banyak-banyak dan masukkannya ke dalam pasaran). Walaupun polisi kewangan macam ni mampu menaikkan kembali ekonomi dalam jangka masa pendek, namun dalam jangka masa panjang ini akan menyebabkan hakisan nilai matawang iaitu inflasi atau lebih teruk lagi, HYPERINFLASI. Keadaan ini TAK BAGUS untuk duit kertas, tetapi BAGUS untuk emas kerana EMAS memang kita sedia tahu ‘kebal’ dari hakisan inflasi. Ini akan menaikkan permintaan untuk emas dan seterusnya menaikkan harganya.

‘Helicopter money’ di mana-mana. Area yang warna pink tu menunjukkan negara-negara yang terpaksa turunkan interest rate supaya ‘kos berhutang’ menjadi rendah. Sesetengah kerajaan akan menggunakan peluang ni untuk ‘meminjam duit murah’ dan gunakannnya untuk stilmulate balik ekonomi yang gawat. Jika ini berlaku, bersedialah untuk menghadapi INFLASI atau lebih teruk, HYPERINFLASI..
Sumber gambar: bloomberg (link)

4. Kadar Faedah yang Rendah (atau NEGATIF): Kebanyakan kita lebih gemar simpan duit dalam bank berbanding bawah bantal. Satu: sebab lebih selamat, Dua: at least ada keuntungan sikit dari hibah bank (dipanggil ‘faedah’ dalam perbankan conventional). Walaupun tak banyak, tapi kadar faedah ini memberi hasil kepada simpanan kita setiap tahun. Jika kadar faedah terlampau rendah (contoh: 0.5%/year) atau NEGATIF (contoh: -1%/year), kita cenderung untuk TAK simpan duit dalam bank sebab hasilnya sikit sangat. Lebih baik alihkan duit tu ke aset kewangan yang lain atau logam berharga seperti EMAS.

Kadar faedah NEGATIF bermaksud kita TAK dapat keuntungan bila menyimpan duit di bank, sebaliknya kita yang bagi keuntungan kepada bank (duit akan ditolak dari akaun setiap tahun). Gambar ni menunjukkan bank pusat yang menetapkan kadar faedah NEGATIF. Daripada bagi duit tu kepada bank, lebih baik kita alih duit tu jadi EMAS..
Sumber gambar: marketwatch (link)

5. Central Bank Memborong Emas: Kebelakangan ini, permintaan untuk emas perhiasan menurun di India dan China (antara negara yang paling tinggi pembelian barang kemas sebelum ini) sekaligus menyebabkan harga emas berisiko untuk turun. Namun usah risau kerana terdapat pemborong emas dari kalangan institusi besar iaitu bank pusat di seluruh dunia (Central Banks) yang membeli emas sebagai aset dalam kuantiti yang banyak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selagi itu ada permintaan untuk emas, selagi itu harga emas boleh terus naik.

Bank pusat di seluruh dunia mula mengumpul emas sejak 2010. Takkan kita nak tengok dari tepi je? Jom simpan emas.
Sumber gambar: us global investors (link)

Kesimpulan

Pelaburan ni ibaratnya kita nak menanam. Apa hasil yang kita inginkan?: Sayur-sayuran atau buah-buahan. Bila kita boleh dapat hasil?: Selepas beberapa bulan atau tahun. Apa modal yang diperlukan hari ini?: Kena beli biji benih, baja, air, dan tanah. Apa risiko yang terpaksa dihadapi?: Pokok dimakan serangga/kambing atau diserang penyakit, banjir, dan lain-lain. Bagaimana kita nak kawal risiko ni?: membaja, meracun, pasang pagar, dan lain-lain. Walaupun kita sudah buat yang terbaik, risiko kerugian tetap ada. Situasi yang sama berlaku dalam pelaburan EMAS.

Keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil telah menyediakan ‘tanah yang subur’ untuk harga emas terus naik. Hakisan nilai matawang dan inflasi pula bagaikan ‘baja’ yang akan carry harga emas untuk terus naik dalam jangka masa panjang. Apa yang diperlukan sekarang ialah sedikit keberanian dari kita untuk melabur sebahagian modal yang ada supaya kita dapat menikmati hasilnya beberapa bulan/tahun yang akan datang menerusi kenaikan harga emas.

Jika dilihat dari sudut analisa teknikal, corak graf sekarang menunjukkan pasaran emas sedang berada dalam bull market. Pergerakan harga dari tahun 2016 hingga sekarang telah menghasilkan MOMENTUM yang sangat kuat untuk harga emas terus meroket untuk beberapa bulan atau tahun yang akan datang. Tentunya keadaan ini takkan berterusan untuk selama-lamanya. Masih ingat statement ‘pokok takkan tumbuh ke langit‘..? Selepas harga emas telah sampai ke puncaknya, ia akan kembali turun ke harga baseline yang baru. Dan kitaran yang sama akan terus berulang pada masa hadapan.

Jadi, mengapa kita kena beli emas sekarang? Jawapannya kerana potensi harga emas untuk terus meroket itu TINGGI. Namun potensi untuk rugi tetap ada, tetapi lebih rendah. Sanggup tak kita ambil risiko tersebut? Tepuk dada, tanya hati.

Ikhlas dari sahabat emas anda,